MELIHAT kehidupan masyarakat di pulau mampu menarik kehadiran pelancong.
MELIHAT kehidupan masyarakat di pulau mampu menarik kehadiran pelancong.
Hafiz Ithnin &Nurul Husna Mahmud


Penulis masih teringat ketika bertemu beberapa rakan pengembara dari Eropah khasnya kala mengembara di luar negara, ada antara mereka yang bertanya berkenaan keunikan produk di Malaysia yang tidak ada di negara mereka.

Sudah pasti produk pelancongan pertama yang terkeluar dari mulut adalah berkenaan keindahan pulau-pulau tempatan kerana penulis percaya negara kita mempunyai banyak khazanah pulau yang tidak ada tolok bandingnya dengan negara lain.

KEHIDUPAN laut dan air laut yang jernih menjadikan pulau di Malaysia terkenal.
KEHIDUPAN laut dan air laut yang jernih menjadikan pulau di Malaysia terkenal.

Tambahan, di Malaysia setiap pulau mempunyai tarikan yang tersendiri. Sebut saja jenis pulau yang bagaimana diinginkan? Dari konsep bulan madu, menyelam, berpesta, keluarga sehingga membeli-belah, semuanya ada di negara ini.

Pulau di Malaysia sememangnya menjadi tulang belakang kepada sektor pelancongan negara. Menyedari hal itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelancong untuk menikmati keindahannya.

AKTIVITI skuba di kawasan perairan pantai Malaysia mempunyai keunikan tersendiri.
AKTIVITI skuba di kawasan perairan pantai Malaysia mempunyai keunikan tersendiri.

Antara yang disediakan ialah akses mudah untuk ke pulau yang popular dalam kalangan pelancong seperti di Pulau Langkawi.

Terdapat kemudahan penerbangan dari bandar tertentu ke pulau berkenaan secara terus dan tidak ketinggalan, tambangnya juga sangat berpatutan.

Bagi pulau yang tidak mempunyai penerbangan terus, kemudahan feri atau bot pula menjadi penghubung.

Berkenaan tempat untuk bermalam, mereka juga tidak perlu risau kerana terdapat pelbagai hotel, resort, chalet, inap desa dan tapak perkhemahan disediakan. Perkara paling penting ialah perlu tahu bajet untuk menginap.

Bagaimanapun, jika masih buntu dalam membuat perancangan aktiviti yang ingin dilakukan sekiranya berada di pulau, tidak perlu risau kerana terdapat banyak ejen pelancongan yang menyediakan pelbagai pakej lengkap dan boleh disesuaikan dengan bajet anda.

Malah Pulau Langkawi juga melengkapkan konsep percutian anda dengan pelbagai aktiviti seperti berbulan madu, sukan air, membeli-belah dan mengenang sejarah mahupun mengenali legenda dulu kala.

Diiktiraf UNESCO Geopark Global, Geopark Langkawi turut menjadi pendorong tarikan pelancong ke pulau itu kerana anda boleh melihat sendiri keunikan pelbagai formasi batu, hidupan liar dan tumbuhan hijau yang mempunyai nilai tinggi dalam khazanah alam semula jadi.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti membeli-belah, pulau ini juga menjadi lubuk berbelanja kerana kerajaan sudah menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi bebas cukai. Paling penting, sediakan saja duitnya!

PULAU Perhentian menawarkan pelbagai aktiviti air yang menarik.
PULAU Perhentian menawarkan pelbagai aktiviti air yang menarik.

Sementara itu, kelompok pulau yang terdapat di Kepulauan Borneo juga tidak kurang menariknya. Kepulauan Borneo yang juga dikenali sebagai pulau ketiga terbesar di dunia.

Diliputi pantai sepanjang 14,400 kilometer dengan kedudukan Laut China Selatan di pantai barat, Laut Sulu di bahagian timur laut dan Laut Sulawesi di selatan, panorama ditawarkan buat peminat destinasi pulau di negeri itu pastinya visual paling mengujakan.

Pulai Sipadan pula pernah tersenarai dalam 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia oleh New 7 Wonders of Nature Votes Committee selain menjadi satu-satunya pulau samudera di Malaysia berlatarkan batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari paras laut.

KEINDAHAN Pulau Sipadan mampu menarik kehadiran pelancong.
KEINDAHAN Pulau Sipadan mampu menarik kehadiran pelancong.

Berdekatan pulau ini terletak juga satu lagi ‘syurga’ buat penyelam skuba iaitu Pulau Mabul yang turut menjadi penempatan masyarakat Bajau Laut.

Buat pasangan yang mahu mengabadikan memori bulan madu berlatar pemandangan indah, Pulau Bohey Dulang atau Bohidulong antara pilihan tepat.

Pulau itu terbentuk daripada sisa tinggalan gunung berapi seolah-olah kawah yang dibanjiri air laut lalu mewujudkan lagun besar.

KEJERNIHAN air di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang.
KEJERNIHAN air di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang.

Destinasi ini turut menjadi pusat perlindungan marin yang salah satunya sebagai tempat penyu bertelur.

Namun, ada juga pengembara yang mempunyai cita rasa berbeza dan gemar ke pulau dipenuhi elemen budaya atau penduduk tempatan yang unik.

Sebenarnya banyak pulau tempatan yang mempunyai penduduk asal yang boleh kita dekati dan pelajari berkenaan warisan dan budaya mereka.

Pulau di Sabah umpamanya terdapat masyarakat Bajau Laut yang masih mengamalkan kehidupan nomad, sering berpindah randah. Lebih istimewa, Bajau Laut juga terkenal sebagai golongan yang mampu menyelam ke dalam laut untuk satu jangka masa yang lama.

MASYARAKAT Bajau Laut di perairan Sabah antara tarikan untuk mengunjung pulau tempatan.
MASYARAKAT Bajau Laut di perairan Sabah antara tarikan untuk mengunjung pulau tempatan.

Dalam kata lain, Malaysia sememangnya mempunyai khazanah pulau yang cukup menarik dan sesuai dengan konsep diingini pengembara dunia. Jadi tidak hairanlah jika ada pengembara yang masih ‘bercuti’ di Malaysia walaupun sudah beberapa tahun di sini!

Bagaimanapun, sebelum anda berangkat untuk bercuti ke sesebuah pulau, perlu diingatkan bahawa ada pulau di Malaysia yang tidak beroperasi pada bulan tertentu kerana musim tengkujuh atau monsun yang menjadi cabaran kepada pengangkutan air untuk ke ke situ.

PULAU Tioman yang menjanjikan aktiviti menyelam dan snorkeling yang menarik.
PULAU Tioman yang menjanjikan aktiviti menyelam dan snorkeling yang menarik.

10 PULAU POPULAR DI MALAYSIA

1. Pulau Langkawi, Kedah.

2. Pulau Pangkor, Perak.

3. Pulau Redang, Terengganu.

4. Pulau Sipadan, Sabah.

5. Pulau Bohey Dulang, Sabah

6. Pulau Kapas, Terengganu

7. Pulau Tioman, Pahang

8. Pulau Perhentian, Terengganu

9. Pulau Aur, Johor.

10. Pulau Rawa, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:29 AM