Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Terengganu dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menenggelamkan tiga bot untuk dijadikan tukun tiruan di kawasan perairan Pulau Kapas, di sini, semalam.

Semua bot berkenaan membabitkan bot nelayan Vietnam dan dua bot nelayan tempatan yang dirampas APMM kerana melanggar Akta Perikanan 1985 pada 2016 dan 2017.

Pengarah JTLM Terengganu Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, proses menenggelamkan bot berkenaan dilakukan kontraktor dilantik APMM di kawasan air sedalam enam meter kira-kira 0.4 batu nautika dari Pulau Gemia.

“Tukun tiruan membabitkan bot rampasan APMM yang ditenggelamkan ini adalah yang pertama dilakukan secara usaha sama di kawasan perairan Taman Laut Pulau Kapas.

“Keadaan cuaca yang baik membolehkan kita melaksanakan proses ini dalam masa ditetapkan iaitu antara 10 hingga 15 minit bagi menenggelamkan tiga bot berkenaan,” katanya selepas selesai menyaksikan proses berkenaan.

Tiga  bot nelayan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan oleh  APMM   di perairan Pulau Kapas, semalam.
Tiga bot nelayan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan oleh APMM di perairan Pulau Kapas, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) APMM Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu Komander Maritim Simon Temple.

Muhammad Nur Ashry berkata, proses menenggelamkan bot berkenaan dilakukan dengan menebuk lubang dan memotong bahagian dinding bot bagi membolehkan air masuk dalam ruangan bot.

Menurutnya, selepas bot ditenggelamkan, pakar selam dari jabatan berkenaan akan memeriksa kedudukan bot terbabit bagi memastikan ia tidak mengganggu laluan yang boleh mendatangkan bahaya kepada bot melalui kawasan berkenaan.

Sementara itu, Simon Templer berkata, pihaknya sudah menenggelamkan lapan bot rampasan yang dilucut hak oleh mahkamah sejak Januari 2017 hingga kini.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya melelong bot yang dirampas, namun lelongan terpaksa dihentikan apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan bot berkenaan untuk aktiviti perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:06 AM