Penyerang Bayern Munich,Robert Lewandowski (depan) kecewa selepas pasukannya tewas 1-5 kepada Eintracht Frankfurt. FOTO AFP
Penyerang Bayern Munich,Robert Lewandowski (depan) kecewa selepas pasukannya tewas 1-5 kepada Eintracht Frankfurt. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich mencatat kekalahan terburuk mereka sejak sedekad lalu selepas tewas 1-5 di Eintracht Frankfurt yang meninggalkan masa depan ketua jurulatih Niko Kovac berada dalam tekanan kuat.

Juara bertahan Bayern, yang terpaksa bermain dengan majoriti 10 pemain berikutan layang kad merah kepada Jerome Boateng pada minit kesembilan berada di kedudukan keempat liga, empat mata di belakang pendahulu Borussia Moenchengladbach yang menang 2-1 di Bayer Leverkusen.

Ia kekalahan terbesar Bayern dalam saingan liga sejak dibelasah Wolfsburg dengan jumlah jaringan sama pada April 2009.

Kekalahan sedekad lalu itu meragut jawatan Jurgen Klinsmann sebagai pengendali Bayern dan Kovac berdepan nasib sama apabila Frankfurt mudah membenam lawan yang terpaksa beraksi 10 orang susulan Jerome Boateng dibuang padang pada minit kesembilan.

Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac kecewa dengan kekalahan terburuk kelab itu. FOTO AFP
Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac kecewa dengan kekalahan terburuk kelab itu. FOTO AFP

Kovac mengambil alih Bayern pada Jun 2018, memenangi kejuaraan berganda musim lalu.

“Saya tahu bagaimana perniagaan ini berjalan – saya bukan naif,” kata Kovac berkenaan masa depannya.

“Selepas kad merah, semuanya hancur. Sepatutnya ia tidak berlaku dan ia bukan seperti yang kami harapkan. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan.”

Gol-gol jaringan Filip Kostic, Djibril Sow, David Abraham dan Martin Hinteregger meletakkan Frankfurt 4-1 di depan selepas sejam permainan.

Robert Lewandowski menjaringkan gol tunggal Bayern di babak pertama, melebarkan rekod jaringannya kepada 10 perlawanan pertama liga musim ini.

Bagaimanapun Frankfurt begitu menguasai permainan sehingga pengendalinya Adi Huetter membawa masuk penyerang ketiga menggantikan pemain tengah bertahan Gelson Fernandes ketika permainan berbaki 10 minit.

Lima minit kemudian Frankfurt meledak gol kelima menerusi Goncalo Pacienca.

Bayern melayan kunjung Olympiakos dalam saingan Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini. Mereka di kedudukan teratas Kumpulan B dengan tiga kemenangan berturut-turut, sebelum berdepan Borussia Dortmund di gelanggang sendiri dalam aksi tumpuan Bundesliga.

Dortmund, yang akan melayan kunjungan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu, melonjak ke tangga kedua Bundesliga selepas jaringan Raphael Guerreiro, Thorgan Hazard dan Mario Goetze memberikan kemenangan 3-0 ke atas Wolfsburg.

RB Leipzig ketinggalan satu mata di belakang untuk menghuni tangga ketiga selepas membelasah Mainz 8-0 hasil jaringan hatrik penyerang Jerman Timo Werner.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 9:45 AM