RENAULT Zoe
RENAULT Zoe
Erywan Norshal


Pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC), menawarkan kenderaan elektrik sepenuhnya menerusi model Renault ZOE.

Buat masa ini, TCEC menawarkan kenderaan elektrik itu dalam jumlah terhad yang dijual pada harga RM145,888 seunit diatas jalan tanpa insurans.

Jentera itu yang dipasang kilang Renault di Flins, Perancis, dijanakan dengan motor elektrik berdaya menghasilkan kuasa maksimum 88PS dan tork puncak sehingga 220Nm.

Dipadankan kotak gear automatik dengan dikuasakan bateri lithium-Ion 22kWh yang mana tempoh caj penuh anggaran empat jam menerusi pengecasan pantas 7kW atau hingga sembilan jam andai menggunakan pengecas biasa berkuasa 3.6kW.

Dengan caj penuh, Renault ZOE boleh dipandu sejauh 210 kilometer (km) berdasarkan kepada kitaran NEDC. Biarpun ia kenderaan kompak, tetap tersedia ruang kargo seluas 338 liter yang boleh dipertingkatkan menjadi 1,225 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Malah, ia dilengkapi ciri keselamatan standard membabitkan empat beg udara, ABS dengan EBD, ESC dan ASR.

Sama dengan kenderaan penumpang Renault lain, ia hadir dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Di samping itu, jaminan lima tahun atau 100,000km untuk rangkaian kuasa dan bateri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:01 AM