Mohd Razlan Salleh

Menggunakan dua sumber kuasa iaitu petrol dan elektrik, kenderaan hibrid elektrik (HEV) Hyundai IONIQ adalah pilihan terbaik buat mereka yang mahukan jentera sedan moden, selesa serta sarat teknologi keselamatan terbaik.

Menariknya, model dilancarkan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) didatangkan dengan dua varian berbeza dan ditawarkan pada harga bermula RM99,888 tanpa insurans.

Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun berkata, IONIQ hibrid yang juga model pemasangan tempatan (CKD) menjanjikan pengalaman pemanduan tanpa kompromi dengan sistem keselamatan terkini.

“Hyundai Motor Company sudah terbukti dalam membina kenderaan tenaga sel elektronik pertama dan beberapa model hibrid dan plug-in hibrid yang dijual di seluruh dunia.

“Oleh itu, HSDM yakin IONIQ hibrid mampu diterima baik di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Mohamad Madani Sahari.

IONIQ ditawarkan dengan dua varian iaitu HEV dan HEV Plus yang menggunakan enjin Kappa 1.6 Atkinson empat silinder bersama kotak gear baharu enam kelajuan klac berkembar (6DCT) manakala motor elektriknya dijana bateri polimer lithium-ion berkapasiti 1.56kWh berkuasa 42kW.

Enjin dwikuasa ini menghasilkan kuasa 105PS pada 5,700rpm dengan tork maksimum 147Nm pada 4,000rpm. Rekaan luarannya persis hatchback dengan bahagian hadapannya diserlahkan menerusi sepasang lampu Bi-xenon bersama lampu LED berbentuk C.

Dari segi keselamatan, IONIQ dilengkapi sistem Vehicle Stability Management (VSM), Sistem Parkir Depan Belakang, tujuh beg udara, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS). Varian HEV Plus pula didatangkan bersama Sistem Pengecas Tanpa Wayar untuk peranti mudah alih, Blind Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist System (LKAS), Automatic Emergency Braking System (AEB), Smart Cruise Control (SCC) dan Sensor hujan.

Model HEV ini didatangkan dalam tujuh warna pilihan terutama hitam, putih, perak, kelabu, biru dan jingga sebagai warna eksklusif untuk varian HEV Plus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:01 AM
HYUNDAI IONIQ yang menarik.
HYUNDAI IONIQ yang menarik.
REKAAN sedan yang kemas dan sesuai sebagai kereta keluarga.
REKAAN sedan yang kemas dan sesuai sebagai kereta keluarga.
REKA bentuk bahagian belakang futuristik
REKA bentuk bahagian belakang futuristik