Noorhanisah Bazlaa Mohamad Arif
Noorhanisah Bazlaa Mohamad Arif
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: "Saya berterima kasih kepada DRB-HICOM University of Automotive Malaysia kerana menawarkan biasiswa dalam bidang automotif kepada saya.

"Ini satu penghargaan cukup istimewa," kata 'pomen' remaja, Noorhanisah Bazlaa Mohamad Arif apabila dihubungi hari ini.

Menurut Noorhanisah Bazlaa, 18, dia terkejut apabila dimaklumkan berkaitan tawaran itu dan menganggapnya sebagai rezekinya serta keluarga.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi guru matematik namun saya akan berbincang dengan bapa, Mohamad Arif, serta kakak berkaitan tawaran ini.

"Ia tawaran yang datang sekali seumur hidup dan saya perlu pertimbangkannya dengan penuh mendalam," katanya.

Untuk rekod, Noorhanisah memperoleh 5A, 3C dan 1E dalam peperiksaan SPM yang diperoleh kelmarin.

"Terima kasih sekali lagi kepada DRB-HICOM University of Automotive Malaysia atas penghargaan ini. Memang saya 'gila' membaiki motosikal dan automotif adalah satu bidang yang menyeronokkan.

"Bagaimanapun, saya perlu fikirkannya terlebih dulu," katanya.

Bapanya, Mohamad Arif Md Toha, berkata, dia menyerahkan keputusan itu kepada anaknya.

"Kami akan tetap berbincang berkaitan tawaran ini dan ia penting kerana membabitkan masa depan anak.

"Terima kasih kepada DRB-HICOM University of Automotive Malaysia kerana mengiktiraf kejayaan anak saya. Ia satu penghormatan serta membuktikan syarikat ini prihatin dengan pendidikan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti DRB-HICOM, Prof Madya Ir Shamil Abu Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya memang mencari anak-anak muda yang ada kebolehan dan minat dalam bidang automotif serta menawarkan bantuan serta nasihat berkaitan industri sebagai hala tuju masa depan mereka.

"Ada banyak biasiswa yang kami sediakan. Kriteria asas ialah, perlu mendapat 5A dalam SPM dan dalam kalangan golongan B40. Namun ketika tempoh pandemik ini, kami longgarkan sedikit syaratnya kerana ramai yang terkesan.

"Kami serahkan semua pertimbangan kepada Noorhanisah Bazlaa kerana dia akan menjadi pemangkin dan contoh terbaik kepada ramai lagi anak muda.

"Kami mengalu-alukan penyertaan Noorhanisah Bazlaa di universiti kami jika dia menerima tawaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:06 PM