ACARA BMW Motorrad GS Challenge 2023.
ACARA BMW Motorrad GS Challenge 2023.
Lizam Ridzuan


Acara lasak motosikal pengembaraan BMW Motorrad GS Challenge 2023 kembali ke tanah air bagi merebut peluang bagi pemilihan ke acara GS Trophy Tour 2024 yang bakal diadakan di Namibia.

Bertempat di Putrajaya, lebih 180 penunggang menguji kecekapan dan keupayaan mental, fizikal dan jentera dalam laluan off-road binaan khas itu.

Ia memerlukan peserta melepasi beberapa ujian dan cabaran laluan lasak unik seperti 'Follow the Trails' (FTT) yang mengujakan terutama kepada pemilik model BMW G 310 GS.

10 penunggang terbaik pada hari pertama dipilh untuk mara ke pusingan seterusya pada Ahad bagi cabaran FTT untuk memilih lima yang terbaik bagi mewakili Malaysia iaitu Asmawi Ali, Diwaaga Tambychandran, Affendy Syed Omar, Zulkifli Zainal Abidin dan Azlan Shah Ahmad Suhaimi.

Selain cabaran lasak, turut diadakan persembahan muzik, selain dihidangkan makanan dan minuman dalam acara 'GS Fireplace" sebagai antara acara sisi untuk aktiviti ini.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, BMW Motorrad GS Challenge dianjurkan lagi atas sambutan memberangsangkan tahun lalu.

"Selain menguji kemahiran mengendalikan motosikal GS, ia menghimpunkan pemilik dan peminat BMW Motorrad untuk sama-sama merasai pengalaman mengharungi cabaran," katanya.

Tahun lalu acara GS Trophy Tour diadakan di Albania menampilkan 57 pemilik GS seluruh dunia yang berlangsung tujuh hari dengan jarak perjalanan sejauh 1,000 kilometer (km) serta menunggang 10 jam sehari.

Ia merentasi laluan berbatu dan air, pasir dan kawasan berbukit yang dimenangi pasukan lelaki dan wanita dari Afrika Selatan.

Untuk pasaran Malaysia BMW Motorrad menawarkan model R 1250 GS dan model G 310 GS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:20 AM