MOTOSIKAL elektrik pertama DNA H-D.
MOTOSIKAL elektrik pertama DNA H-D.
Lizam Ridzuan


Teknologi masa hadapan untuk kenderaan seakan-akan hanya selangkah sahaja daripada era ini melalui pengenalan sumber kuasa dan tenaga baharu.

Tidak terkecuali untuk motosikal, bayangan untuk model elektrik bukan lagi impian malah sudah diwujudkan untuk pengeluaran.

Harley-Davidson antara yang terawal memperkenalkan jentera dua roda kuasa penuh elektrik ini pada 2019 menerusi model 'LiveWire'.

Untuk mengukuhkan lagi segmen kenderaan elektrik (EV) mereka, LiveWire kini berperanan sebagai satu jenama yang diletakkan di bawah syarikat Harley-Davidson.

Melalui pelancaran model LiveWire ONE baru-baru ini, motosikal sport-naked itu menawarkan gaya tunggangan urban, namun dengan jarak perbatuan yang tinggi.

Ia bakal membuat kemunculan pertama di pameran motosikal IMS California Utara pada hari ini (18 Julai 2021) untuk orang ramai merasai pengalaman menunggang dan mengenali lebih dekat teknologi yang terdapat pada jentera ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Harley-Davidson, Jochen Zeitz berkata, sebagai satu daripada Strategi Hardwire, mereka komited untuk menjadi pendahulu dalam pengeluaran motosikal elektrik.

"Kami melihat nilai jenama dan semangat yang dimiliki oleh LiveWire lalu mewujudkan ia sebagai jenama khusus untuk model EV keluaran jenama ini pada masa hadapan.

KERANGKA aluminium dan trenkuasa baharu.
KERANGKA aluminium dan trenkuasa baharu.

"Melalui pengenalan model LiveWire ONE yang dibangunkan di atas DNA Harley-Davidson, ia akan menjadi lembaran baharu untuk meneruskan legasi dalam industri motosikal dunia," katanya.

Walaupun ia adalah motosikal elektrik, sistem pengendalian yang ditawarkan adalah termaju dengan suspensi bertaraf dunia dan sistem 6-axis IMU.

Ia juga datang dengan fork Showa SFF-BP selain BFRC pada bahagian belakang boleh dilaras bagi disesuaikan dengan gaya tunggangan.

Kerangka daripada aluminium acuan direka untuk pengendalian lebih lancar sama ada ketika perjalanan dalam bandar atau lebuh raya.

Selain itu, dengan satu pengecasan penuh pada pek bateri lithium-ion 15.4 KwH, ia mampu bergerak sejauh 235 kilometer (km).

Kelajuan maksimumnya pula mencecah 175 kilometer/sejam (km/j) selain mampu memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam tempoh tiga saat.

Ia boleh disesuaikan dengan sistem pengecasan pantas DC yang mengambil masa sekitar satu jam dengan lokasi pengecasan juga banyak terdapat di negara 'Uncle Sam' itu.

SISTEM pengecasan elektrik penuh.
SISTEM pengecasan elektrik penuh.

Motosikal ini menawarkan 105 kuasa kuda (hp) dan tork 114Nm dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta selekoh dengan (C-ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman Selekoh (C-TCS) serta Kawalan Gelinciran Tork-Seretan (DSCS).

Empat mod tunggangan disediakan iaitu Sport, Road, Range dan Rain.

Ia juga datang dengan meter digital penuh bersaiz 4.3 inci TFT skrin sesentuh dengan ketersambungan ke telefon pintar untuk panggilan telefon dan muzik serta Bluetooth.

Model LiveWire ONE ditawarkan pada harga AS$21,999 (kira-kira RM92,200) dengan tempahannya dibuka secara dalam talian.

Untuk versi sebelum ini (2019), ia menggunakan logo H-D dan dijual pada harga AS$29,799 (kira-kira RM125,000) manakala LiveWire ONE kini menawarkan opsyen harga lebih kompetetif.

Untuk pasaran global, ia akan mula ditawarkan pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:50 AM