KTM 790 Duke sedia untuk perlumbaan.
KTM 790 Duke sedia untuk perlumbaan.
Lizam Ridzuan

Menawarkan tunggangan gaya prestasi KTM 790 Duke dengan gelaran ‘The Scalpel’ antara motosikal segmen naked premium kelas pertengahan terkini ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Model import sepenuhnya dari Austria itu melengkapi ahli keluarga Duke yang ditawarkan sebelum ini iaitu Duke 125, 390, 690 dan Super Duke 1290 R.

Untuk model ini, enjin 799cc dua silinder selari berkembar DOHC sejukan cecair adalah kali pertama diperkenalkan KTM untuk barisan modelnya.

Enjin ini menjana kuasa 105hp pada 9,000rpm dan daya kilas 87Nm pada 8,000rpm dengan kotak gear enam kelajuan Quickshifter+ sebagai ciri standard.

Kerangka dan casis baru Dual-backbone dan sub-kerangka daripada aluminium berkualiti tinggi menggantikan jenis Trellis menjadikan jentera tampil lebih kompak dan ringan.

KTM 790 Duke turut dilengkapi Klac Gelincir dan Bantu Kuasa (PASC) yang membantu roda belakang daripada tergelincir akibat membrek secara pantas.

TAMPIL garang dengan casis baru.
TAMPIL garang dengan casis baru.

Jentera ini tampil dengan rekaan agresif terutama lampu nyalaan siang (DRL) signatur jenama KTM bukan saja menyerlahkan gaya, malah mudah dilihat dalam sebarang cuaca sebagai satu ciri keselamatannya.

Kedudukan menunggang yang ergonomik dan menyakinkan sesuai untuk semua penunggang serta pemegang aluminium lebar 760 milimeter boleh laras empat peringkat.

Rekaan pelana berketinggian 825 milimeter (mm) didatangkan dengan opsyen 805mm dan 780 serta ‘chasis lowering kit’ bagi disesuaikan dengan saiz ketinggian penunggang.

Paparan meter TFT warna penuh untuk maklumat perjalanan memudahkan penunggang manakala bar takometer berubah warna setiap kali memulas pendikit.

Empat mod tunggangan ditawarkan menjadikan KTM 790 ini antara termaju dalam kelasnya iaitu Sport, Street, Rain dan Track dengan pendikit Ride-by-Wire (RBW).

PAPARAN meter TFT.
PAPARAN meter TFT.

Untuk mod Track, ia menawarkan ciri Anti-Wheelie, kawalan pelepasan (Launch Control), larasan berpusing dan kawalan cengkaman serta tindak balas pendikit yang disesuaikan dengan keadaan tunggangan.

Bagi yang gemarkan ciri tunggangan prestasi, brek ABS pada bahagian belakang boleh dinyah aktif dan hanya brek hadapan saja beroperasi.

Motosikal ini dilengkapi tangki bahan api 14 liter dengan berat 174 kilogram sesuai untuk kegunaan harian, hujung minggu atau di litar lumba.

Untuk pasaran tempatan, KTM 790 dijual pada harga RM64,800 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan.

MDEC
MDEC

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:06 AM