Lizam Ridzuan

Sebuah lagi model trak pikap diperkenalkan baru-baru ini dengan gaya atletik dan tampil ranggi iaitu Mitsubishi Triton Athelete.

Ia adalah varian tertinggi menggantikan model Adventure X. Ia diberi kemasan luaran yang kelihatan lebih teguh dan bergaya.

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji media model ini ke Janda Baik, Pahang dengan merentasi laluan jalan raya biasa, lebuh raya dan lasak bagi menguji keupayaannya.

KEMAMPUAN mengharungi air 500mm.
KEMAMPUAN mengharungi air 500mm.

Perjalanan dimulakan dari ibu pejabat Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) di Shah Alam dengan setiap trak pikap disertai dua wakil media. Penulis digandingkan dengan rakan sejawat dari Berita Harian, Alzahrin Alias.

Memulakan pemanduan, kami menelusuri Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Lebuhraya Damansara Ulu Klang (Duke) sebelum ke Gombak dan memasuki Lebuhraya Pantai Timur dan keluar ke Genting Sempah.

Setibanya di Janda Baik, kami dibawa menyusuri laluan lasak ke kawasan air terjun Tanglir merentasi laluan pendakian dan menuruni curam selain merentasi kawasan berbatu dan juga sungai.

KEMASAN hitam tampil maskulin.
KEMASAN hitam tampil maskulin.

Ketika ini, kami dapat menguji keupayaan enjin 2.4 liter MIVEC Turbo Diesel DI-D Common Rail VGT Intercooler yang menjana 181 PS pada 3,500 rpm dan tork 430Nm pada 2,500rpm.

Ia dijana dengan transmisi automatik enam kelajuan dengan mod sport dan tiada masalah melepasi laluan yang agak mencabar termasuk lumpur dan lembah sungai hanya dengan tayar standard Dunlop Grandtrek AT20.

RUANG simpanan belakang tempat duduk penumpang.
RUANG simpanan belakang tempat duduk penumpang.

Tambah lancar, Super Select 4WD-II boleh dipilih untuk disesuaikan dengan permukaan laluan untuk lebih cengkaman dan pengendalian lebih stabil.

Fungsi ini boleh ditukar dengan mudah untuk rangkaian 2WD High Range, Full Time AWD, 4HLc dan 4LLc.

Keupayaannya juga terserlah dengan 'approach angles' yang tinggi bagi melepasi keadaan permukaan yang mencabar termasuk ketika mengharungi air sedalam kira-kira 500mm.

RIM aloi 18 inci.
RIM aloi 18 inci.

Ia adalah yang pertama dalam kelas trak pikap di negara ini yang didatangkan dengan empat mod pemanduan bagi lebih cengkaman melalui jalan berbatu, pasir, lumpur serta Kawalan Menuruni Bukit bagi pemandu lebih fokus pada pengendalian.

Konvoi media kemudian berhenti untuk menikmati makan tengah hari di tepian sungai sebelum bergerak ke lokasi penginapan di Tiarasa Escapes Glamping Resort.

Untuk model Triton Athlete ini, ia tampil dengan kemasan luaran baharu elemen hitam terutama pada gril 'perisai dinamik' hadapan warna hitam berkilat serta bahagian bawah bampar hiasan terkini.

CORAK grafik baharu.
CORAK grafik baharu.

Lampu hadapan Bi-LED kemasan hitam dengan lampu nyalaan siang (DRL), serta rim aloi 18 inci juga dengan hitam berkilat serta 'sports bar' pada kargo menyerlahkan gaya.

Ia juga lengkap dengan perekat corak grafik baharu Athlete pada bahagian sisi kenderaan.

Menjengah ke dalam kabin, ia diserlahkan dengan rekaan yang tampil kemas dan sporty dengan sentuhan warna gelap termasuk roda stereng dengan butang audio dan pelayaran dan 'paddle shifters',

Kemasan kulit pada tombol gear dan roda stereng dan 'scuff plates' bercahaya dengan tulisan Triton antara ciri terbaharu ditawarkan pada varian Athlete ini.

TOMBOL gear dengan jahitan oren.
TOMBOL gear dengan jahitan oren.

Sistem hiburan multimedia pula membabitkan skrin sesentuh bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem keselamatan terbaik juga dilengkapi pada model ini seperti tujuh beg udara SRS, Pengurangan Perlanggaran Hadapan (FCM), Amaran Titik Buta dengan Bantuan Tukar Laluan (BSW dan LCA) dan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA).

Secara keseluruhan, Mitsubishi Triton Athlete Baharu menawarkan trak pikap dengan varian yang tampil ranggi sesuai untuk pemanduan gaya urban atau menjelajah ke laluan lasak.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Sun Flare Orange Pearl, Putih Diamond dan Jet Hitam Mica.

Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Triton Athlete Baharu ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan dijual pada harga RM141,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun atau 200,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 7:00 AM