CORAK ‘camouflage’ konsep batu lava dan Ralliart.
CORAK ‘camouflage’ konsep batu lava dan Ralliart.
Lizam Ridzuan


Bersempena Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2023 (BIMS 2023) yang berlangsung sehingga 2 April depan, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) buat julung kalinya mempertontonkan model konsep 'Mitsubishi XRT'.

Ia adalah bayangan kepada model Mitsubishi Triton Serba Baharu iaitu trak pikap saiz pertengahan yang bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini ke pasaran global.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMC Takao Kato, model paling laris untuk jenama itu dipasang di kilang Laemchabang, Thailand untuk dieksport ke lebih 150 negara.

"Selepas sembilan tahun sejak diberi sentuhan rekaan baharu, ia kini, menerusi generasi ke-6, bakal memasuki pasaran Asean, Oceania dan benua lain dengan karakter lebih lasak yang dibangunkan oleh MMC atas platform dan enjin baharu," katanya ketika majlis pratonton media di BIMS 2023.

Model XRT ini diserlahkan dengan ciri rekaan bahagian hadapan lebih 'ganas' serta gril lebih besar.

Tayar 'mud-terrain' menjadikan model ini 'lebih ganas' untuk menempuh pelbagai permukaan jalan.

Model konsep ini didatangkan dengan perekat 'camouflage' yang diinspirasikan daripada corak lava batu.

Ia juga dilengkapi 10 garisan selari imej 'Ralliart' yang juga ikon Mitsubishi dalam dunia sukan permotoran.

MODEL Triton munjul Juara Rali Asia Cross Country 2022.
MODEL Triton munjul Juara Rali Asia Cross Country 2022.

Ia juga seiring dengan pembabitan model Triton Serba Baharu (spesifikasi Group T1) ini dalam Kejuaraan Rali Asia Cross Country 2023 menerusi pasukan Mitsubishi Ralliart yang muncul juara pada tahun lalu menerusi model Triton generasi terkini.

Perlumbaan laluan lasak di Thailand dan memasuki sedikit jajaran di Laos sejauh 2,000 kilometer itu bakal menggunakan model prototaip Triton Serba Baharu untuk memburu kejuaraan kedua.

Pasukan ini akan dikendalikan oleh Hiroshi Masuoka yang juga juara Rali Paris-Dakar pada 2002 dan 2003 yang bertindak sebagai pengarah pasukan.

Selain beliau, jurutera daripada Mitsubishi akan sentiasa membantu dan bersama pasukan bagi mendapat maklum balas lebih tepat ciri prestasi dan pengendalian jentera itu.

Segala maklumat dan proses pembangunan model itu yang diasaskan daripada teknologi perlumbaan rali digunakan untuk membina trak pikap yang lebih berprestasi, selesa, memiliki pengendalian terbaik serta ciri keselamatan lengkap.

"Tahun 2023 penting untuk MMC memacu perniagaan lebih baik menerusi pengenalan model Triton Serba Baharu ini serta satu lagi produk iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak.

"Triton kini dalam proses akhir untuk pengeluaran sebelum ia dilancarkan ke pasaran.

"Model ini mendapat sentuhan daripada pakar serta berdasarkan teknologi rali. Pelbagai ujian turut dijalankan di beberapa bagi memastikan trak pikap ini mampu memenuhi keperluan pengguna termasuk cuaca, iklim dan permukaan jalan," katanya.

KONSEP XRT di BIMS 2023.
KONSEP XRT di BIMS 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 7:00 AM