Lizam Ridzuan


SENTUHAN rekaan 'crossover' tujuh tempat duduk adalah elemen utama Mitsubishi Xpander yang bakal menjengah ke pasaran tempatan tidak lama lagi melalui pengedarnya, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).

Model pemasangan tempatan (CKD) dari Pekan, Pahang ini menampilkan rekaan luaran yang sporty serta ciri ruang dalaman praktikal.

Vroom ke sesi prebiu ekskluslif media model itu baru-baru ini untuk melihat dengan lebih dekat akan penawaran terbaharu model dalam segmen kenderaan penumpang keluaran Mitsubishi ini.

Xpander mula diperkenalkan untuk pasaran Indonesia pada 2017 sebelum ia memasuki pasaran Thailand, Filipina dan Vietnam.

Melihat kepada rekaan luaran, ia didatangkan dengan gril hadapan 'Perisai Dinamik'.

Ia juga didatangkan dengan lampu posisi, lampu hadapan, kabus dan nyalaan siang (DRL) dan belakang dengan pencahayaan bentuk L daripada LED.

Untuk saiz, Xpander adalah yang terbaik dalam kelasnya dengan tinggi 1,730 milimeter (mm), panjang 4,475mm, jarak roda 2,775mm, lebar 1,750mm dan jarak kelegaan tanah 205mm serta rim aloi 16 inci.

ELEMEN 'perisai dinamik' ciri signatur.
ELEMEN 'perisai dinamik' ciri signatur.

Untuk ruang dalaman, dengan tiga baris tempat duduk, ia boleh memuatkan tujuh penumpang dan untuk ciri fleksbel, ruang but jadi lebih luas jika kerusi direbahkan.

Ruang simpanan bawah kerusi dan konsol tengah, kotak simpanan bawah lantai kargo dengan lampu, pengecas USB dan corong penyaman udara khusus buat penumpang belakang antara yang tersedia.

Pakej pengedar sah MMM meliputi kerusi kulit hitam, perakam video pemanduan dan monitor paparan sekeliling adalah ciri standard.

Selain itu, ia lengkap dengan sistem audio bersaiz 9 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tersedia bagi kemudahan telekomunikasi dan hiburan.

PAPAN pemuka dengan sistem multimedia 9 inci.
PAPAN pemuka dengan sistem multimedia 9 inci.

Untuk pemandu, disertakan kluster meter analog dan digital bersaiz 4.2 inci untuk paparan maklumat berkaitan suhu, kawalan pelayaran serta indikasi bateri untuk kunci kereta.

Untuk kuasa, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter MIVEC yang menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141Nm pada 4,000 rpm dan transmisi automatik empat kelajuan.

Sistem keselamatan dengan dua beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA), Bantu Permulaan Bukit (HSA), Peringatan Rehat dan banyak lagi.

Mitsubishi Xpander hanya ditawarkan dalam satu varian dengan empat pilihan warna iaitu Kelabu Titanium Metalik, Hitam Mica Berlian, Putih Mutiara Quartz dan Merah Metalik.

Buat masa ini tiada lagi pengumuman harga oleh MMM, namun ia dilaporkan pada nilai yang kompetitif untuk pilihan lebih baik kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:00 AM
GAYA crossver ciri sporty.
GAYA crossver ciri sporty.