Lizam Ridzuan


MELALUI kawasan berbukit.
MELALUI kawasan berbukit.

SEBAIK model crossover Mitsubishi Xpander Baharu dilancarkan ke pasaran tempatan, sesi pandu uji media diadakan dari Shah Alam, Selangor ke The Hooton Retreat di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Anjuran Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sebagai pengedar utama kenderaan jenama Mitsubishi di negara ini, ia membabitkan pengamal media dan portal permotoran Malaysia yang dilangsungkan dalam suasana norma baharu.

Perjalanan hari itu dimulakan di ibu pejabat MMM dengan sesi taklimat dan pelepasan konvoi membabitkan tujuh Xpander dengan jarak perjalanan lebih 130 kilometer (km).

Berkonsepkan santai, tujuan utamanya untuk wakil media merasai pengalaman memandu melalui pelbagai permukaan jalan seperti lebuh raya, jalan kampung dan sederhana lasak.

CROSSOVER tujuh tempat duduk.
CROSSOVER tujuh tempat duduk.

Pertama kali memandu model ini, penulis dapat rasakan ia pasti digemari kebanyakan pengguna di negara ini kerana kedudukannya yang lebih tinggi dengan posisi yang ergonomik.

Memandu di dalam bandar dengan enjin 1.5 liter MIVEC DOHC memberikan kelancaran dan keselesaan hasil daripada blok enjin aluminium yang menggabungkan elemen prestasi serta efisien.

Sekali-sekala penulis cuba memecut di Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) dan sebagai sebuah kereta keluarga, ia tidak mengecewakan kerana terdapat elemen responsif meskipun mendatar dengan kuasa 105PS pada 6,000rpm dan tork141Nm pada 4,000rpm.

TEMPAT duduk baris ketiga dijatuhkan untuk lebih ruang.
TEMPAT duduk baris ketiga dijatuhkan untuk lebih ruang.

RODA stereng balutan kulit.
RODA stereng balutan kulit.

Melalui transmisi automatik empat kelajuan, ia juga berfungsi dengan baik terutama ketika melalui kawasan pendakian di Bukit Putus, Negeri Sembilan yang mengatur baik keperluan kuasa.

Ketika melewati jalan perkampungan dari Jelebu ke destinasi dituju, penulis dapat rasakan kelancarannya selain tiada masalah untuk memintas kenderaan lain.

Tiba di simpang utama ke The Hooton Retreat, kami dihidangkan dengan jalan tidak berturap. Ia hanya laluan lasak berbatu termasuk lumpur kerana kebetulan pagi itu, hujan melanda kawasan berkenaan.

Pada mulanya penulis agak ragu-ragu dengan keupayaan Xpander, namun kenderaan ini ada kelebihannya. Ia didatangkan dengan jarak permukaan tanah yang agak tinggi iaitu 205 milimeter (mm).

Meskipun sedikit mencabar, ia bukan penghalang crossover yang juga disasarkan untuk keluarga ini melalui laluan itu dengan lancar dan tidak tersekat di laluan berair.

Ia tidak habis di situ, untuk ke kawasan parkir hanya disediakan laluan konkrit sedikit curam, namun enjin dan breknya berfungsi baik.

REKAAN sporty.
REKAAN sporty.

Selepas menikmati makan tengah hari, kami mengambil peluang berehat sebentar di bilik vila yang disediakan dengan suasana kehijauan hutan dan terasa tenang apabila jauh dari hiruk-pikuk kota.

Penulis juga berkesempatan mengambil foto dan video Xpander di beberapa lokasi yang disediakan oleh MMM yang selari dengan antara tujuan kenderaan ini direka iaitu untuk mereka yang gemar beraktiviti pada hujung minggu.

Tidak lama kemudian, kami bergerak pulang melalui laluan sama dalam keadaan hujan lebat dan selamat tiba di ibu pejabat MMM sekitar jam 7 malam.

Secara keseluruhan, sesi pandu uji media untuk model Mitsubishi Xpander ini menunjukkan ia mampu memenuhi pelbagai aspek dimahukan pembelinya.

Model ini didatangkan dengan rekaan menggabungkan elemen kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi memenuhi keperluan serta keselesaan.

ELEMEN premium pada kerusi.
ELEMEN premium pada kerusi.

Rekaan hadapan dengan lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus cukup menunjukkan gaya signatur Mitsubishi.

Rim aloi dua tona bersaiz 16 inci, lampu belakang LED bentuk L dan elemen bumbung terapung pada belakang menyerlahkan gaya sporty.

Ruang dalaman dengan penawaran tujuh tempat duduk terasa luas.

Ia didatangkan dengan ciri terkini seperti paparan meter LCD pemandu 4.2 inci TFT dan sistem infotainment bersaiz 9 inci dengan ketersambungan USB, Bluetooth serta Apple Car Play dan Android Auto.

Ruang simpanannya juga luas dan pelbagai seterusnya memudahkan mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

Selain itu, corong penyaman udara untuk penumpang belakang turut tersedia.

Jika mahu lebih ruang, kerusi baris kedua dan ketiga boleh direbahkan hanya dengan larasan mudah.

Isian penuh 45 liter bahan api mampu menjangkau jarak 390km malah masih berbaki sebaik kami tiba kembali di Shah Alam.

Sistem keselamatan dilengkapi dengan dua beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA) dan Bantu Permulaan Bukit (HSA).

Melalui pakej pengedar MMM, ia juga didatangkan dengan Perakam Video Pemanduan (DVR), kerusi kulit dan Paparan Keseluruhan Persekitaran dengan garisan panduan.

Mitsubishi Xpander mula diperkenalkan untuk pasaran Indonesia pada 2017 sebelum memasuki pasaran Thailand, Filipina, Vietnam dan terkini, Malaysia.

Untuk pasaran Malaysia, Xpander dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan mereka di Pekan, Pahang.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Titanium Metalik, Hitam Mica Berlian, Putih Mutiara Quartz dan Merah Metalik.

Mitsubishi Xpander dijual pada harga RM91,359 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:22 AM