Lizam Ridzuan

KIA Motor Corporation sebagai pengeluar kenderaan Kia melancarkan program lanjutan waranti ‘Kia Promise’ untuk pengguna kenderaan itu di seluruh dunia.

Program yang meliputi di 142 negara itu adalah untuk semua kenderaan jenama Kia dengan waranti sah yang berakhir di antara 1 Februari sehingga 30 April 2020.

Ia sebagai usaha membantu pemilik yang mempunyai pergerakan terbatas kerana pandemik Covid-19 ketika ini dengan waranti yang tamat akan dilanjutkan sehingga 30 Jun hadapan.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Bahagian Pengalaman Pelanggan Global Kia, Sangdae Kim berkata terdapat lebih 500,000 pelanggan mereka di seluruh dunia yang akan mendapat manfaat melalui program ini.

“Banyak perniagaan dan negara mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawal penularan Covid-19 dengan penangguhan operasi dan ‘Kia Promise’ akan memberi kelegaan buat mereka yang tidak sempat melakukan servis di bengkel kami boleh berbuat demikian selepas ini,” katanya.

Selain mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kesejahteraan pelanggan, pekerja dan rakan niaga, Kia Motors akan terus memantau perkembangan Covid-19 di Malaysia dan mematuhi segala arahan berkaitan perlaksanaan kerajaan bagi mengekang penularan virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 8:39 PM