PELANCARAN Yamaha Y15ZR versi Doxou di MAEPS, Serdang. FOTO Eizairi Shamsudin
PELANCARAN Yamaha Y15ZR versi Doxou di MAEPS, Serdang. FOTO Eizairi Shamsudin
Lizam Ridzuan


HONG LEONG Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) sebagai pemasang, pengimport dan pengedar utama motosikal jenama Yamaha di negara ini melancarkan model terbaharu Y15ZR Doxou dan NVX Doxou edisi fesyen sport.

Model Doxue adalah dalam segmen gaya hidup sporty premium Yamaha dengan ciri dan warna yang tampil lebih elegan serta didatangkan dengan pakaian dan aksesori seiring dengan jentera yang ditawarkan.

Sebagai bonus melalui pembelian setiap model Doxou, juga didatangkan dengan sijil pemilikan dengan butiran casis dan enjin motosikal, fon telinga serta rantai kunci eksklusif edisi terhad.

Doxou adalah dalam bahasa Jepun daripada perkataan ‘dokusou’ yang membawa maksud ‘lebih kreatif dan mendahului yang lain’ menawarkan model dengan warna biru ‘matte’ dan tembaga dengan rim belakang biru sepenuhnya dan hadapan dengan garisan biru.

Tiada perubahan pada enjin di mana untuk Y15ZR mengekalkan enjin 150cc SOHC sejukan cecair dengan transmisi 5 kelajuan klac basah plat pelbagai dan NVX dengan 155cc SOHC sejukan cecair dengan enjin automatik V-belt.

Pengarah Urusan HLYM Datuk Jim Khor Mun Wei berkata, bersempena dengan Karnival Gen Blue Yamaha 2019 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pelbagai acara menarik diadakan khas buat menghargai pelanggan setia Yamaha.

“Selain pelancaran, karnival ini juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya mengumpul 11,836 motosikal Yamaha dalam satu acara,” katanya ketika majlis pelancaran, hari ini.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR Doxou dijual pada harga asas RM8,868, manakala NVX Doxou tiada pengumuman harga buat masa ini.

Keduanya diberi jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:25 PM