GAYA elegan dan sporty. FOTO Zunnur Al Shafiq
GAYA elegan dan sporty. FOTO Zunnur Al Shafiq
Lizam Ridzuan

Prestasi memukau! Itulah yang boleh diungkapkan dengan kata-kata tentang model Mercedes-AMG GLC 63 S 4Matic yang diperkenal ke dalam pasaran tempatan hujung tahun lalu.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan ini menawarkan pemanduan bertenaga ditala daripada unit prestasi AMG yang bukan sahaja memberi kepuasan pada pemanduan malah tampil dengan rekaan gaya sporty.

Pandu uji minggu ini Vroom Harian Metro berpeluang berada dalam sebuah jentera yang menggabungkan elemen gaya dan prestasi.

Menyentuh mengenai rekaan luarannya, meskipun datang daripada keluarga GLC namun pada beberapa bahagian dipasangkan dengan kit badan AMG menyerlahkan model ini tampil lebih maskulin.

Gril hadapan Panamericana adalah yang pertama dipasang untuk model selain daripada AMG GT menambah kemantapan rekaan terutama dari arah hadapan.

Rekaan itu bukan sahaja menambahkan gaya sporty malah diadaptasi daripada teknologi perlumbaan untuk sistem sejukan enjin lebih efisien terutama pada kelajuan tinggi.

‘Arch Wheels’ lebih lebar pada bahagian hadapan dan belakang, ‘Apron’ luas diinspirasikan daripada sayap jet dan splitter hadapan besar antara ciri utama yang membezakan ia dengan siri standard.

TALAAN daripada AMG. FOTO Zunnur Al Shafiq
TALAAN daripada AMG. FOTO Zunnur Al Shafiq

Kemantapan rupa luaran ditambah dengan rim aloi AMG 21 inci hitam, brek komposit, lampu hadapan LED, sistem ekzos AMG berkembar membuatkan setiap yang memandang teruja.

Untuk bahagian dalaman, Mercedes-AMG GLC 63 S dilengkapi akesori penuh AMG terutama pada roda stereng keluli Dinamica serta papan pemuka dan ‘beltlines’ daripada kulit buatan dan kemasan kulit Nappa untuk sentuhan premium dan mewah.

Pada bahagian tempat duduk gaya ‘bucket’ prestasi AMG dan padanan tali pinggang keledar merah diimbangi kemasan aluminium dan gentian karbon pada bahagian konsol dan sisi pintu ciri sporty dan mewah.

KERUSI prestasi dan roda stereng AMG. FOTO Zunnur Al Shafiq
KERUSI prestasi dan roda stereng AMG. FOTO Zunnur Al Shafiq

Panel sisi sill pintu hadapan dengan pencahayaan LED, kerusi hadapan larasan elektrik dengan empat larasan sokongan lumbar, pemanas kerusi serta penyaman udara Thermotronic automatik untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

Sistem hiburan dan multimedia terbaik dengan sistem bunyi keliling jenama premium Burmester adalah padanan menghasilkan akustik berkualiti dengan ciri pemain DVD dan skrin sesentuh berwarna resolusi tinggi bersaiz 8.4 inci.

Turut memaparkan kamera undur dan pakej parkir 360 darjah, larasan sistem teknikal kenderaan yang boleh dilaras dengan mudah dengan kawalan Touchpad yang terletak pada konsol tengah untuk pemandu lebih fokus.

KEMASAN dalaman mewah dan sporty. FOTO Zunnur Al Shafiq
KEMASAN dalaman mewah dan sporty. FOTO Zunnur Al Shafiq

Head-up Display juga dipasang pada meter kelajuan dan rpm untuk pelbagai maklumat berkaitan kenderaan dan teknikal dipaparkan.

Kerusi belakang boleh dilipat dengan mudah untuk kapasiti ruang but 550 liter ke 1,600 liter melalui butang suis yang terdapat pada bahagian tepi bonet bagi tujuan membawa lebih muatan dengan kawalan pintu automatik.

Bumbung panorama menambahkan gaya mewah untuk cahaya memasuki ke dalam ruang kabin juga menikmati pemandangan langit luas terutama di kawasan tanah tingi.

DILENGKAPI bumbung panorama. FOTO Zunnur Al Shafiq
DILENGKAPI bumbung panorama. FOTO Zunnur Al Shafiq

Nadi utama jentera Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ ini ialah enjin bersesaran 3,982 cc V8 biturbo menjana kuasa 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm serta tork 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm.

Kotak gear transmisi 9 kelajuan Speedshift AMG membolehkan ia mencapai dari kelajuan sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 3.8 saat dengan catatan kelajuan maksimum pengeluar sehingga 270 km/j.

Gabungan elemen ini memberi kuasa yang disalurkan pada kesemua roda melalui sistem pintar 4Matic serta tenaga yang lancar serta berprestasi terutama memintas kenderaan lain.

Untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan terdapat mod ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport Plus’ dan ‘Individual’ serta ‘Race’ untuk kegunaan di litar perlumbaan.

Ia memberi perbezaaan ketara daripada segi kuasa dan tork juga redaman suspensi bagi kestabilan lebih baik untuk melayan selekoh atau pada kelajuan tinggi dan laluan tidak rata dengan Air Body Control.

Meskipun dibekalkan dengan kemewahan gaya dan kuasa ia juga seiring untuk ciri keselamatan yang dilengkapi pada model ini seperti Bantu Jarak Aktif Distronic, Bantu Brek Aktif, sistem Pra-Keselamatan, Bantuan Titik Buta, 9 beg udara dan banyak lagi ciri termoden.

RUANG simpanan dengan pintu elektrik. FOTO Zunnur Al Shafiq
RUANG simpanan dengan pintu elektrik. FOTO Zunnur Al Shafiq

Secara keseluruhan model Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ ini sebuah jentera SUV bukan sekadar mewah pada status malahan untuk kuasa, ciri dan pengendaliannya.

Selain limpahan kuasa dan tork di atas jalan raya model ini terdapat juga Pakej Kejuruteraan Off-Road menawarkan keupayaan pemanduan laluan lasak dengan mod Off-Road, Incline, Slippery, Trailer dan Rock Free.

Ruang dalaman dengan kerusi prestasi, roda stereng, kemasan gentian karbon yang kesemuanya daripada AMG menyerlahkan elemen prestasi untuk kabin yang selesa dan elegan.

Pemanduan dengan enjin 4.0 liter V8 memberikan satu kepuasan dengan limpahan tenaga yang berterusan serta kemantapan kawalan jentera dengan sistem pacuan semua roda 4Matic dan suspensi AMG Sports membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 kilometer/sejam (km/j).

Rekaan luaran dengan padanan roda AMG bersaiz 21 inci, gril Panamericana dan wheel arch lebih lebar menambah kemantapan rekaan sebagai SUV berprestasi inspirasi daripada sukan permotoran.

Untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ dijual pada harga RM915,888.00 (atas jalan tanpa insurans) dengan empat tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

ENJIN 4.0 liter V8. FOTO Zunnur Al Shafiq
ENJIN 4.0 liter V8. FOTO Zunnur Al Shafiq

MERCEDES-AMG GLC 63 S 4MATIC+

• ENJIN: 3,982 cc V8 biturbo

• KUASA MAKSIMUM: 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm

• TORK MAKSIMUM: 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm

• KAPASITI PETROL: 65 liter

• CIRI KESELAMATAN: Bantu Jarak Aktif Distronic, Bantu Brek Aktif, Sistem Pra-Keselamatan, Bantuan Titik Buta dan 9 beg udara.

• HARGA: RM915,888.00 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 8:04 AM