Mohd Razlan Salleh

SELEPAS sekian lama menanti, akhirnya Perusahaan Otomobil Nasional Kedua (PERODUA) memulakan ‘saingan’ tahun ini dengan pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk terbaharu, Aruz.

Model ketiga selepas Kembara dan Nautica ini dianggap antara kenderaan terbaik untuk wang dengan harga bermula RM72,900 bagi varian 1.5X dan RM77,900 untuk varian 1.5 Advance.

Menggunakan 95 peratus komponen tempatan, PERODUA Aruz diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan kecekapan bahan api terbaik sekitar 15.6 kilometer per liter (km/l).

SUV tujuh tempat duduk ini digerakkan enjin empat selinder bersesaran 1.5L Dual VVT-i yang menawarkan kuasa kuda (hp) sehingga 105PS dan tork 136Nm.

PAPAN pemuka menarik. FOTO NSTP
PAPAN pemuka menarik. FOTO NSTP

Pacuan roda belakang ini disalurkan menerusi kotak gear automatik empat kelajuan Torque Converter.

Ciri terkini pada bahagian luaran termasuk lampu utama LED hadapan dan belakang, rim aloi 17 inci, antena Shark Fin dan spoiler belakang.

Manakala ruang dalaman kekal fleksibel dengan tempat duduk hadapan semibucket, unit kawalan pendingin hawa automatik, corong udara baris kedua, meter LCD bersama paparan pelbagai info dan unit multimedia serta navigasi.

Menurut Pengerusi PERODUA Tan Sri Asmat Kamaludin, PERODUA sentiasa berusaha menjadikan teknologi dan trend automotif terkini mampu dimiliki semua rakyat.

“Permintaan SUV semakin meningkat di seluruh dunia kerana cirinya yang serba boleh, selesa, kedudukan memandu yang tinggi, penglihatan terbaik serta ruang luas dan dalam masa sama mengekalkan ciri kompak.

ENJIN 1.5L Dual VVT-i.  FOTO NSTP
ENJIN 1.5L Dual VVT-i. FOTO NSTP

“Dengan PERODUA Aruz, rakyat kini boleh menikmati kelebihan SUV termasuk ciri canggih yang biasanya hanya disediakan dalam kenderaan mewah,” katanya ketika majlis pelancarannya, Selasa lalu.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking.

Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Menurut Asmat, harga mampu milik ini menjadikan Aruz antara SUV dengan nilai terbaik yang memenuhi anjakan ruang, keselamatan dan kecekapan.

Model terbaharu ini turut dilengkapi ciri keselamatan standard seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan caguk ISOFIX.

Manakala varian Advance dilengkapi sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang dinaik taraf dengan pengesanan pejalan kaki dan peningkatan kelajuan operasi.

GARIS krom bersambung bersama lampu utama.  FOTO NSTP
GARIS krom bersambung bersama lampu utama. FOTO NSTP

PERODUA Aruz turut dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Lima warna ditawarkan iaitu Putih Ivory, Perak Glittering, Biru Electric, Kelabu Granite dan warna baharu, Hijau Amazon.

Setiap model hadir dengan waranti lima tahun atau 150,000 kilometer (km), yang mana terdahulu.

Sebagai bonus tambahan, pelanggan yang membeli insurans motor PERODUA Total Protect Plus bukan saja akan menikmati PERODUA Auto Assist percuma tetapi penamaan pemandu percuma tanpa had, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan kemalangan peribadi maksimum RM10,000.

REKAAN bahagian belakang sporty. FOTO NSTP
REKAAN bahagian belakang sporty. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 9:55 AM