SUKARELAWAN HM menyusun #HMKotakRezeki ke dalam Toyota Hilux.
SUKARELAWAN HM menyusun #HMKotakRezeki ke dalam Toyota Hilux.
PETUGAS mengagihkan #HMKotakRezeki kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sik, Kedah.
PETUGAS mengagihkan #HMKotakRezeki kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sik, Kedah.
Mohd Razlan Salleh


Pelengkap kepada Ramadan tahun ini, Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menutup tirai di Jeneri, Sik, Kedah pada 1 dan 2 Jun lalu.

Ini adalah program kedua selepas di Gelang Patah, Johor dan kali ini ditaja Bank Simpanan Nasional (BSN) manakala UMW Toyota Motor Sdn Bhd masih kekal sebagai penaja kenderaan rasmi TKHM.

Seperti kebiasaan, empat model kenderaan Toyota disediakan untuk sukarelawan Harian Metro (HM) ke lokasi sejauh lebih 400 kilometer (km).

Perjalanan menyusuri sepanjang Lebuhraya PLUS lancar dengan tahap keselesaan maksimun dengan kadar NVH (bising, getaran dan kekasaran) terbaik dalam kelasnya.

Meskipun antara model berkenaan adalah model Toyota Hilux 2.8L yang terkenal dengan ketinggian dan kelasakan, namun tahap NVH tetap terbaik.

Model lain yang turut serta dalam program kali ini ialah Vios, kenderaan pelbagai guna (MPV) Innova dan MPV Sienta.

Terdahulu, Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP selaku Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, BSN menyumbangkan RM80,000 bagi menaja program TKHM yang kini masuk tahun ke-11 penganjurannya.

"Ini kali keempat BSN berkolaborasi de-ngan HM mengadakan program amal selepas berbuat demikian pada 2013 di Terengganu, diikuti Johor (2014), Kelantan (2015) dan tahun ini di Sik, Kedah.

"Ia satu usaha murni untuk membantu golongan kurang bernasib baik supaya mereka dapat meraikan serta menyambut Ramadan dan Syawal dengan gembira," katanya.

Menurut Othman, antara aktiviti diatur ialah membawa anak yatim dan murid miskin membeli baju dan kelengkapan raya, mengunjungi keluarga miskin sambil menghulurkan bantuan serta memberi sumbangan wang tunai kepada masjid terpilih untuk menyediakan moreh sepanjang Ramadan.

"Lima masjid yang terpilih untuk menerima sumbangan moreh sebanyak RM2,000 ialah Masjid Ad-Dini Kampung Cemara, Jeneri; Masjid Al Maarif, Kampung Jeneri; Masjid Al Falah, Kampung Betong; Masjid Tajuddin, Kampung Kuala Ruman dan Masjid Al Barakah, Kampung Berona Kanan.

"Di samping itu, 150 anak yatim dan murid miskin yang juga kariah lima masjid berkenaan dibawa membeli baju dan kelengkapan hari raya di Giant Hypermarket Sungai Petani dengan setiap seorang diberi peruntukan RM150 dan bebas memilih sendiri baju raya dan keperluan lain," katanya.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Komersial New Straits Times Press Malaysia Bhd (NSTP) Alfian Talib.

Acara sampingan lain termasuklah pengedaran #HMKotakRezeki kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas dan pengunjung bazar Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:46 AM