BMW 3 Series.
BMW 3 Series.
PAPAN pemuka yang kemas.
PAPAN pemuka yang kemas.
Oleh Erywan Norshal


Generasi keenam BMW 3 Series baharu terus menarik perhatian dengan reka bentuk dinamik, kelincahan tiada tandingan dan praktikaliti untuk kegunaan setiap hari.

Sejak 1975, BMW 3 Series menunjukkan kemampuan dengan menetapkan penanda aras dalam segmen jentera sports premium bersaiz sederhana.

Sedan itu turut dikenali sebagai pemangkin segmen sports premium bersaiz sederhana dan dalam tempoh 40 tahun apabila menawarkan kemampuan dinamik serta sporty yang tiada tandingan dalam kelasnya.

Karakter dinamik diserlahkan lagi melalui reka bentuknya yang elegan dan jelas tampak menonjol di jalan raya dengan penampilan lebih sporty berbanding model sebelumnya.

Sedan sporty berkenaan masih mengekalkan tradisi reka bentuk tradisi jenama BMW merangkumi bonet dan tapak roda panjang, bahagian belakang pendek serta ruang tempat duduk belakang yang selesa.

Rekaan luarannya diperbaharui dengan perumah lampu hadapan utama untuk memberikan persembahan visual jelas, selain isyarat membelok tampil sistem LED kini diposisikan kelihatan seperti ‘kening’ mata.

Bahagian hadapan BMW 3 Series menyerlahkan perwatakan maskulin sekali gus memberikannya gaya lebih menawan.

Rekaan belakangnya pula tidak kurang hebatnya selepas dilengkapi lampu belakang LED sepenuhnya yang menerima rekaan baharu disusun dalam bentuk ‘L’.

Ruang kabin diceriakan garis yang dinamik dan elegan rangkaian model sporty dengan menawarkan akses optimum kepada semua fungsi penting pemanduan.

Pada masa sama, BMW 3 Series dilengkapi ciri baharu iaitu BMW ConnectedDrive dengan ciri keselamatan, keselesaan dan maklumat hiburan yang mengagumkan.

Ia membabitkan Navigation System Professional generasi terkini pada varian BMW 320d dan BMW 330i M Sport yang menawarkan pengiraan laluan pantas serta paparan 3D lebih realistik.

Penggunaan SIM kad pada kenderaan itu membolehkan pemandu menikmati sambungan dan akses optimum kepada rangkaian perkhidmatan BMW ConnectedDrive tanpa memerlukan telefon pintar.

Aplikasi perkhidmatan ‘Concierge’ membolehkan memilih lokasi seperti restoran atau hotel ketika memandu, selain mampu membuat tempahan dan menghantar arahan navigasi untuk ke destinasi yang dituju.

Satu lagi ciri standardnya membabitkan Panggilan Kecemasan Pintar untuk memastikan keselamatan maksimum di jalan raya.

Sekiranya beg udara diaktifkan dalam kemalangan, sistem itu akan menggunakan kad SIM untuk menghantar maklumat kemalangan, potensi risiko kecederaan penumpang dan lokasi kenderaan ke Pusat Panggilan BMW secara automatik.

Maklumat itu kemudian akan digunakan untuk mengatur maklum balas kecemasan yang sebaik mungkin dan Pusat Panggilan terus berhubung dengan mangsa sekiranya perlu.

BMW 3 Series turut ditawarkan dengan tiga pilihan enjin membabitkan tiga silinder 1.5 liter BMW TwinPower Turbo, 2.0 liter petrol dan rangkaian kuasa diesel empat silinder.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, pihaknya yakin BMW 3 Series baharu itu akan terus menjadi peneraju dalam segmennya.

Menurutnya, selaku sedan sport premium, model berkenaan hadir bersama rekaan menarik, dinamik yang luar biasa, kecekapan dan praktikaliti.

BMW 3 Series baharu itu berada di semua pengedar sah BMW di seluruh Malaysia bermula semalam dan dijual antara RM208,800 sehingga RM308,800.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:02 AM