Mohd Razlan Salleh


KALI terakhir penulis memandu uji Honda Civic Type R adalah pada 2009 selepas Honda Malaysia melancarkan model itu di pasaran tempatan.

Model dikenali sebagai Civic FD2 menggunakan enjin K20A sememangnya menjadi kegilaan kaki kereta bukan saja kerana kepantasannya, malah reka bentuknya ‘mencairkan’ mata yang memandang.

Kali ini, Honda memberi kesempatan kepada penulis untuk memandu uji varian terbaru Civic Type R FK8 yang menggemparkan dunia automotif apabila dinobatkan sebagai kenderaan pacuan roda hadapan (FWD) terpantas di Litar Nurburgring, Jerman.

Sebaik menerima kunci, penulis tanpa berlengah terus memulakan sesi memandu uji dengan lokasi pilihan adalah ke Port Dickson, Negeri Sembilan melalui Sepang.

Menggunakan transmisi manual bukan satu cabaran walaupun sudah lama penulis tidak memandu kenderaan sebegitu.

Sama ada melepas gian atau teruja memandu jentera spesifikasi tinggi, kaki penulis seperti tidak mahu berganjak daripada terus menekan pedal minyak.

Memandu uji model Type R adalah pengalaman menyeronokkan selain kagum dengan kejuruteraan enjin Honda yang berkuasa.

Model Civic paling berkuasa ini digerakkan nadi 2.0L VTEC Turbo K20C1 transmisi manual enam kelajuan dengan Short Shifter dan LSD Helical.

Apa yang membezakan dengan model sama untuk pasaran Eropah dan Jepun adalah talaan kuasa yang berkurangan sebanyak 10 PS.

Enjin untuk pasaran tempatan adalah 310 PS berbanding 320 PS dan tork maksimum kekal pada 400 Nm.

Penulis difahamkan, pengurangan kuasa bukan kerana kita dianaktirikan, sebaliknya disesuaikan dengan jenis bahan api digunakan di pasaran tempatan.

PAPARAN meter digital penuh.
PAPARAN meter digital penuh.

RUANG kokpit kemas.
RUANG kokpit kemas.

TOMBOL gear.
TOMBOL gear.

SKRIN LCD
SKRIN LCD

RUANG kokpit kemas.
RUANG kokpit kemas.

RIM ‘gergasi’ bersaiz 20 inci.
RIM ‘gergasi’ bersaiz 20 inci.

Jurutera Honda terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk menala semula enjin supaya dapat beroperasi secara optimum walaupun menggunakan RON 95.

Namun begitu, kekurangan tidak terasa sepanjang penulis memerah kuasa enjin berikutan jentera ini tidak diuji di litar lumba, sebaliknya jalan raya biasa tanpa pengawasan keselamatan khusus.

Walaupun berbeza kuasa puncak, tujahan daya kilas sudah cukup membuatkan jentera ini menyusup laju.

Berdasarkan rekod, Civic Type R ini mampu memecut sehingga kelajuan maksimum 272 kilometer sejam (km/j) dan penulis mampu mencatatkan kelajuan melebihi 200km/j.

Pedal kaki aluminium disusun baik bagi memudahkan gerak kerja kaki seperti ‘heel and toe’ yang memang diperlukan bagi memastikan enjin sentiasa dalam putaran banjaran kuasa.

Faktor kestabilan dan kawalan stereng sangat jitu dan rim bersaiz 20 inci dengan padanan tayar 245/30 memastikan jentera melekat di jalan raya.

Perbezaan nyata antara Type R FD2 dan yang terbaharu ini adalah talaan suspensi yang berbeza.

Model sebelum ini ‘melambung’ di laluan tidak rata menjadikannya kurang selesa untuk pemanduan di jalan raya biasa, sebaliknya FK8 ternyata lebih selesa.

Sistem gantungan Dual-Axis Strut pada roda hadapan dan Multi-Link di belakang dengan damper membolehkan jentera kekal stabil dan mampu menyerap hentakan dengan baik.

Tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan R+ yang boleh dipilih sendiri pemandu bagi disesuaikan dengan situasi.

Kereta berprestasi tinggi memerlukan kuasa membrek yang terbaik dan diseimbangkan dengan Sistem Brek Brembo empat omboh berdiameter 350mm di hadapan manakala cakera berdiameter 305mm di belakang.

Sepanjang pemanduan, penulis tidak berasakan sebarang kekurangan kuasa walaupun terlupa sedang memandu kereta manual dan perlu menukar gear lebih rendah untuk memecut.

Walaupun tangan dan kaki kiri ‘penat’ menukar gear tetapi berbaloi dengan prestasinya yang responsif.

Menyentuh bahagian luar Civic Type R, model hatchback ini hadir dengan aerokit yang sempurna dengan kegunaannya.

Bampar hadapan bersama splitter udara, liang udara pada bonet dan fender sisi, vortex generator pada bumbung belakang, spoiler gergasi dan diffuser belakang bukan sekadar hiasan.

Semua komponen ini memiliki fungsinya terutama apabila kenderaan mencapai tahap atau kelajuan tertentu.

Selain itu, perbezaan ketara antara varian Civic lain adalah tiga tip ekzos pada kedudukan tengah berbanding dua pada model biasa.

Sistem pencahayaan utama turut menggunakan LED termasuk lampu kabus, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu brek.

Ruang kokpit Type R masih mengekalkan asas rekaan Civic melainkan lambakan warna merah pada stereng, papan pemuka, pintu dan jalur kerusi bucket.

Selain itu, ada juga padanan gentian karbon untuk mencetuskan gaya sporty termasuk paparan meter dengan latar belakang merah.

Konsol tengah menempatkan tombol dan sarung tuil gear kulit, butang mod pemanduan dan parkir elektronik serta plat nombor siri Type R.

Papan pemuka terpampang paparan skrin tujuh inci pelbagai fungsi, sistem pendingin hawa automatik dan ruang penyimpanan kecil.

Dengan lapan pembesar suara lunak menjadi peneman halwa telinga penulis sepanjang pemanduan.

Kebiasaannya kereta berprestasi tinggi perlu mengorbankan ruang barangan tetapi Civic Type R masih memiliki ruang seluas 420 liter di belakang.

Ini mampu memuatkan beg dan barangan peribadi lain untuk pulang ke kampung atau bercuti.

Untuk pasaran tempatan, Honda Civic Type hanya hadir dengan warna rasmi Type-R iaitu Championship White dan dijual pada harga bermula RM330,002 tanpa insurans.

Memandu jentera yang menakluk litar digelar ‘The Green Hell’ ini adalah satu kebanggaan dan tidak salah rasanya untuk memiliki seunit jentera terpantas ini sekiranya berkemampuan.

Bagi mereka yang berjiwa lumba dan sukakan kelajuan tetapi masih mencari kenderaan manual berkuasa tinggi, inilah keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 2:51 PM