TERDAPAT kelompongan dan kelemahan dalam siasatan apabila laporan penuh termasuk data kotak hitam serta perakam suara pesawat MH17 tidak didedahkan sehingga kini.
TERDAPAT kelompongan dan kelemahan dalam siasatan apabila laporan penuh termasuk data kotak hitam serta perakam suara pesawat MH17 tidak didedahkan sehingga kini.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Tragedi MH17 menjadi sejarah hitam buat seluruh keluarga terutama keadilan buat mangsa nahas. Tahun ini pula genap 10 tahun yang bermaksud sedekad tragedi itu berlalu," kata Kolonel (B) Mohd Sakri Hussin yang mengetuai pasukan 12 anggota yang dinamakan The Dozen Person.

Sebagai ketua perunding dalam misi rundingan dengan kumpulan pemisah yang menguasai kawasan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh di wilayah Donestk, timur Ukraine, beliau berasa agak terkilan kerana siasatan tidak dilaporkan secara telus dan adil.

Beliau berkata, terdapat kelompongan dan kelemahan dalam siasatan apabila laporan penuh termasuk data kotak hitam serta perakam suara pesawat berkenaan tidak didedahkan sehingga kini.

"Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan keputusan kes kerana siasatan tidak dibuat secara rapi berikutan pihak pemisah menyangkal (menembak jatuh pesawat MH17), manakala yang menuduh pihak Ukraine dan sekutunya. Keputusan kemudian meletakkan tiga pesalah atas tuduhan itu.

"Sedangkan kedua-dua data diperoleh iaitu kotak hitam dan perakam suara tidak diumumkan. Mana dua data terpenting itu? Kenapa tidak diumumkan dalam perkembangan siasatan keadilan?

"Pasukan khas siasatan membabitkan Malaysia, Rusia dan beberapa negara lain sepatutnya ditubuhkan bagi menjalankan siasatan secara neutral," katanya dalam temu bual dengan Harian Metro sempena memperingati ulang tahun ke-10 tragedi MH17.

Kumpulan 12 yang diamanahkan untuk proses rundingan bersama pemimpin pemisah, Alexander Borodai berjaya membawa keluar dua bukti penting itu selain mayat mangsa dari lokasi nahas selepas tiga hari pesawat ditembak jatuh, sebelum ia diserahkan kepada pasukan penyiasat Belanda untuk dianalisis.

Menurut Mohd Sakri, proses membawa keluar dua bahan terbabit menjadi detik mencabar bagi kumpulannya dengan pelbagai pihak termasuk Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) mahukan kotak hitam dan perakam suara berkenaan.

"Kami terbabit dalam rundingan tertutup dengan dibantu jurubahasa sebelum persetujuan dicapai berhubung tiga tuntutan iaitu membawa keluar kotak hitam, perakam suara dan mayat mangsa," katanya.

Sebaik kotak hitam diserahkan kepada Kumpulan 12 di hadapan wakil media tempatan dan antarabangsa dengan majlis turut disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, Mohd Sakri berkata, mereka meneruskan perjalanan pulang ke Kharkiv.

Menurutnya, kotak hitam itu berjaya diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum diterbangkan ke Farnborough, London menggunakan pesawat khas dengan kawalan ketat pasukan pegawai keselamatan Malaysia serta Belanda untuk proses siasatan.

Katanya, walaupun berdepan situasi kritikal dan mencabar semasa mengendalikan proses rundingan itu, layanan baik dan kerjasama diberikan pihak pemisah adalah satu penghormatan buat kumpulan kecilnya berbanding pihak Ukraine yang menghalang mereka ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa nahas bersama bahan bukti.

"Saya tidak boleh gambarkan kesedihan keluarga mangsa. Melihat mereka, walaupun kami bukan ahli keluarga tapi ia memberi harapan untuk mendapatkan semula mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 11:01 AM