Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


SESI petang persidangan Dewan Rakyat, hari ini, sarat dengan 'nasihat' Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Azalina Othman Said kepada ahli parlimen.

Beberapa kali beliau menutup mikrofon anggota dewan untuk menegur, lagak seperti guru besar.

Tegurannya bermula ketika Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila beberapa ahli parlimen pembangkang berdiri untuk mencelah ucapannya termasuk RSN Rayer (DAP - Jelutong) .

Celahan yang menimbulkan gamat itu memaksa Azalina membuat teguran pertama yang tegas, "Sit down Jelutong. How am i going to speak when you speak at the same time? (Duduk Jelutong. Bagaimana saya mahu bercakap jika kamu bercakap pada masa sama)."

Kemudian, beliau membidas Teo Nie Ching (DAP - Kulai) yang mengatakan Yang Dipertua (YDP) Datuk Azhar Azizan Harun tidak faham keperluan agihan masa yang adil untuk pembahas pembangkang dan kerajaan.

"Terima kasih kerana nak mengajar saya, tapi saya rasa, saya lagi lama (menjadi ahli parlimen) daripada Kulai. Arahan (daripada YDP) yang saya dapat 20 minit (untuk pembahas berbahas), nanti saya tanya semula YDP," katanya yang ketika itu membenarkan Lim Guan Eng (DAP - Bagan) berbahas.

Nasihat padu Azalina juga buat Khalid Samad (Amanah - Shah Alam) apabila beliau cuba mengambil masa dan membangkitkan Peraturan Mesyuarat tetapi tidak mengingati peraturan itu secara spesifik.

AZALINA. FOTO arkib NSTP
AZALINA. FOTO arkib NSTP

Timbalan YDP pertama wanita itu kemudian menyuruh Khalid membacakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain, yang beliau rujuk kenyataan 'berperangai buruk' yang dikeluarkan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Lebih hangat apabila hujah Guan Eng mengenai ekonomi negara dan langkah kerajaan yang dibandingkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah mendapat serangan bertubi-tubi daripada Ahli Parlimen BN memaksa Azalina membuat keputusan.

"Saya minta semua sabar dulu, nanti kita akan tengok macam mana nak selesaikannya. Sebab sangkaan buruk ini macam-macam dengar. Speaker (YDP) akan bermesyuarat dan kita akan bincang soal ini. Saya faham, kalau semua nak pergi kepada 'point' sangkaan jahat dalam Peraturan Mesyuarat, yang mana-mana (Ahli Parlimen) nak berbahas nanti takkan selesai.

"Apa akan jadi pada esok, minggu depan.... dari (pada) 20 minit (masa perbahasan), jadi 10 minit, lima minit. Nanti kata kita tak demokrasi," katanya.

Azalina sekali lagi mengingatkan supaya ahli parlimen menjaga laku dan tidak membuat tuduhan melulu kepada mana-mana pihak sehingga pihaknya bermesyuarat dan Azhar membuat 'ruling' dijangka 10 pagi esok.

"Semua orang tengah sensitif, jadi saya nak minta, tolonglah..," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:09 PM