Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Polis akan meneruskan operasi pencarian saki baki bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di sebuah lagi kawasan di Perak, kira-kira 20 minit perjalanan dari Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi di lokasi kedua itu bagi mencari bahan bukti dipercayai barang peribadi milik mangsa.

"Pagi tadi saya sahkan polis berjaya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan.

"Proses pencarian akan diteruskan sehingga pasukan penyiasat berpuas hati dengan bahan bukti yang ditemukan," katanya pada sidang media di lokasi utama kejadian, di sini, hari ini.

Terdahulu, telefon pintar dijumpai anggota Unit Sub Akuatik Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 12.21 tengah hari.

Pada masa sama, polis turut membawa suspek berusia 26 tahun ke lokasi kejadian untuk proses pengecaman telefon pintar milik Nur Farah Kartini.

Kelmarin, media melaporkan Nur Farah Kartini, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lalu, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, kira-kira 6 petang dipercayai akibat dibunuh individu dikenali mangsa.

Susulan itu, polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 5:06 PM