Iskandar Shah Mohamed


POLIS sedang memburu seorang lelaki warga Nigeria bagi membantu siasatan kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40.

Individu itu dikenali sebagai Aliwajuwon Gilbertalowonle dan berusia 30-an.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, identiti lelaki itu diperoleh hasil penahanan seorang lelaki Pakistan dan wanita Nigeria berusia 38 dan 35 tahun, awal pagi hari ini.

“Kedua-dua suspek yang juga rakan perniagaan telefon bimbit itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

“Penahanan itu dibuat antaranya menerusi hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kondominium disewa mangsa.

“Justeru, kami sedang mengesan seorang lelaki Nigeria bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mayat Siti Kharina yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu itu ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya, pada 2.30 petang semalam.

“Mayat wanita itu ditemui orang awam yang ternampak darah mengalir keluar dari pintu rumah berkenaan lalu melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan polis menemui mangsa terlentang dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat atau lima hari lalu dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

NOOR Azam menunjukkan gambar lelaki Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh Siti Kharina pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
NOOR Azam menunjukkan gambar lelaki Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh Siti Kharina pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian termasuk merekodkan keterangan ahli keluarga mangsa.

Katanya, pihaknya menolak kemungkinan mangsa dirompak berikutan semua barang berharga milik mangsa tidak hilang dan tiada sebarang kesan pecah masuk.

“Selain itu, kami akan menyiasat hubungan mangsa dengan semua suspek dan menunggu laporan bedah siasat sama ada wanita itu dirogol atau sebaliknya," katanya.

Siti Kharina yang dikatakan sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.

Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja.

Berita berkaitan

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:28 PM