NOORAMILIYANA bersama enam daripada lapan adik-beradiknya yang kini berstatus yatim piatu selepas kematian bapa mereka. FOTO Mohd Amin Jalil
NOORAMILIYANA bersama enam daripada lapan adik-beradiknya yang kini berstatus yatim piatu selepas kematian bapa mereka. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


“SAYA harap kami adik-beradik dapat tinggal bersama dan tidak dipisahkan," kata Nooramiliyana Amran, 18, kakak sulung lapan beradik yang kini bergelar yatim piatu selepas bapa mereka, Amran Isa, meninggal dunia, petang Khamis lalu.

Amran, 39, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban pada 5 petang Khamis lalu selepas koma lebih seminggu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan buah pinggang.

Terdahulu, isteri Amran, Zalifah Wahab, 36, meninggal dunia di hospital sama akibat masalah pada usus, pada Ogos 2018.

Arwah meninggalkan lapan orang anak berusia antara setahun sembilan bulan hingga 18 tahun.

Selain Nooramiliyana, tujuh lagi anak arwah ialah Muhammad Amirul Aiman, 16, Muhammad Amar, 15, Nooramiera Natasha, 12, Nooramiezatul Sofea, 9, Noor Zalisha Qaisara, 6, Muhammad Amsyar, 3, dan Noor Zalisha Husna, berusia setahun sembilan bulan.

Kini, mereka hilang tempat bergantung selepas kehilangan bapa dan ketika ini anak arwah tinggal sementara di rumah bapa saudara mereka, Rasit Isa, 30, di Taman Matahari Indah Senawang, Seremban.

Nooramiliyana berkata, Noor Zalisha Qaisara sering bertanyakan bapa kerana dia antara anak manja dengan arwah dan situasi itu kadang-kala membuatkannya sebak, tetapi tetap tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Menurutnya, dia belum membuat keputusan mengenai kedudukan dan masa depan adik beradiknya terutama untuk menetap di mana selepas kematian bapa mereka.

“Kami masih bersedih dengan pemergian bapa dan sukar untuk membuat keputusan dalam tempoh singkat.

“Ada dalam kalangan saudara sebelah arwah emak di Pahang sedia menjaga adik saya dan tidak kurang juga sebelah ayah di sini, yang juga mahu mengambil tanggungjawab, tapi saya belum dapat buat keputusan mengenainya ketika ini.

"Memang kalau boleh kami adik beradik hendak tinggal bersama dan tidak mahu berpisah, tapi apalah daya saya untuk menentukan kerana kini kami terpaksa menumpang," katanya.

Sementara itu, Rasit berkata, empat anak arwah masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seremban Jaya, Senawang.

Beliau berkata, arwah sebelum ini mendiami rumah sewa di Taman Seremban Selatan, Senawang dan melakukan pelbagai kerja termasuk sebagai pemandu lori bagi menampung kehidupan.

“Saya difahamkan, dia adalah penerima bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM300 selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

"Malah, Baitulmal turut membantu perkakasan sekolah anak ini berupa baucar tunai RM300, kasut, stokin serta set pakaian sekolah bagi empat anak bersekolah," katanya.

Rasit yang bekerja swasta berkata, dia tiada masalah untuk menjaga semua anak saudaranya itu, namun setakat ini keputusan muktamad belum dibuat kerana ada dalam kalangan adik beradiknya turut bersedia menjaga anak yatim piatu itu.

“Kami (keluarga Rasit) sudah berbincang mengenai masa depan mereka, tetapi keputusan terletak kepada Nooramiliyana selaku anak sulung arwah.

“Kami sedar mereka sedang bersedih atas kehilangan bapa dan bagi saya tiada masalah menjaga dan membesarkan mereka kerana mereka adalah sebahagian keluarga kami.

“Memang bukan suatu tugas mudah membesarkan anak yang ramai, tapi keluarga kami akan sama-sama membantu memastikan masa depan mereka tidak terjejas terutama dalam soal pendidikan,” katanya yang mempunyai seorang anak berusia satu setengah tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:03 PM