ISLAM tidak menggalakkan nama dan istilah dalam agama  dieksploitasi untuk tujuan pemasaran sekali gus melariskan produk jualan.
ISLAM tidak menggalakkan nama dan istilah dalam agama dieksploitasi untuk tujuan pemasaran sekali gus melariskan produk jualan.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Umpama sudah menjadi 'ayat pemasaran' bagi segelintir pengeluar apabila setiap produk yang ingin dijual dinamakan sebagai 'makanan sunah' bagi menarik pembeli.

Masyarakat Islam pula ada yang terlalu mudah untuk mempercayai, sekali gus membeli pelbagai produk berkenaan atas nama sunah dan keadaan itu menimbulkan tanda tanya berhubung eksploitasi istilah di dalam Islam.

Memberi gambaran jelas, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) PROF DR ENGKU AHMAD ZAKI ENGKU ALWI berkaitan isu ini.


Makanan sunah umpama sudah menjadi ayat pemasaran?

Penggunaan istilah makanan sunah begitu hangat dipergunakan dalam masyarakat dewasa ini.

Sedangkan istilah ini tidak wujud pun dalam al-Quran mahu pun al-Hadis. Penggunaannya begitu meluas terutama ketika mempromosikan sesuatu produk sama ada produk nutriseutikal, produk kesihatan dan sebagainya.

Penggunaan istilah tersebut bertitik tolak daripada kandungan yang dihasilkan oleh produk tersebut iaitu bahan-bahan yang digunakan ada disebutkan dalam al-Quran dan al-Hadis sama ada secara keseluruhan atau sebahagian kecil.

Sebenarnya, setakat ini belum ada rujukan utama yang dapat menjelaskan istilah tersebut secara tuntas melainkan hanya wujud dan masyhur dari sudut penggunaan istilahnya sahaja.


Apakah definisi sebenar-benarnya makanan sunah dan apakah jenis makanan berkenaan?

Sebenarnya terdapat banyak pandangan yang diutarakan pelbagai pihak tentang definisi makanan sunah ini.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, dapatlah disimpulkan secara ilmiah bahawa makanan sunah ini ialah semua makanan yang berasal dari al-Quran dan al-Hadis.

Terdapat satu lagi pandangan yang boleh diterima berkaitan makanan sunah ini iaitu pandangan ahli akademik yang menyebutkan segala makanan yang membawa kebaikan dan maslahah kepada manusia sama ada yang disebutkan dalam al-Quran, al-Hadis atau yang tidak disebutkan dalam keduanya, disebut sebagai makanan sunah.

Berdasarkan fakta ini, makanan sunah lebih bermaksud kepada makanan yang dipopularkan sebagai makanan sunnah dalam masyarakat seperti madu lebah, kismis, kurma, minyak zaitun, buah tin, delima, pisang, susu, halia, anggur, bawang putih dan beberapa jenis lagi.

Kedua-dua pandangan di atas adalah bertepatan dan sesuai sebagai definisi makanan sunnah.


Apakah mempunyai dalil dan fakta bahawa mengamalkan pemakanan sunah ini mampu menghindarkan penyakit, mencerdaskan minda?

Pemakanan sunah semestinya memiliki fadilat dan khususiyyah tersendiri.

Ia merujuk makanan terbaik, makanan yang memenuhi kriteria penjagaan kesihatan tubuh badan, makanan yang bersifat wahyu berasaskan kepada nas al-Quran dan hadis dan makanan yang pernah diambil oleh Nabi SAW.

Pengistilahan makanan sunah juga didapati cenderung kepada menepati konsep Ittiba' al-Rasul melalui apa yang dibawa oleh Baginda SAW melalui dua panduan, al-Quran dan al-Hadis.

Sekalipun Baginda SAW tidak memakan atau mengambil makanan tertentu, hal itu turut termasuk dalam pembahagian sunnah iaitu merangkumi aspek ucapan, tindakan dan taqrir (pengakuan Baginda SAW).

Oleh itu, setiap yang diajarkan Nabi SAW perlu diyakini memiliki kelebihan dan manfaat besar kepada umat manusia.

Namun begitu, pengkajian terhadap pemakanan sunah berdasarkan hadis Nabi SAW memerlukan penelitian lebih menyeluruh dan saksama.

Ia bukan sekadar memetik sepotong hadis tertentu secara rambang dan dijadikan tiket untuk mempromosikannya.

Selain itu, hadis yang digunakan sebagai sandaran perlu dikaji dan dipastikan status kesahihannya terlebih dahulu.

Ia penting bagi mengelakkan impak negatif dalam mengaitkan integriti baginda SAW.

Sebagai contoh, hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjilat (meminum) madu sebanyak tiga kali setiap bulan tidak akan ditimpa bala yang berat."

Status hadis adalah dha'if (lemah).

Contoh kedua, hadis Nabi SAW bermaksud: "Makanlah buah zaitun dan gunakanlah minyak, sesungguhnya ia telah diberkati."

Status hadis ini adalah dhaif jiddan (sangat lemah).


Pada pandangan Prof, apakah hukum pihak tertentu yang sewenang-wenangnya menggunakan ayat promosi makanan sunah semata-mata ingin melariskan jualan?

Sebenarnya Islam tidak menggalakkan nama dan istilah dalam agama itu dieksploitasi untuk tujuan pemasaran sekali gus melariskan produk jualan.

Ini kerana pelabelan produk seperti makanan sunah atau minuman sunah boleh mengelirukan dan memperdayakan orang lain.

Namun begitu, perkara ini tidaklah sampai ke tahap merosakkan akidah, tetapi harus dibendung kerana fenomena sunah ini menyebabkan masing-masing berlumba-lumba mengeluarkan produk yang sunah sedangkan tiada siapa yang dapat pastikan bahawa ia benar-benar sunah.

Selain itu, tiada kayu ukur atau justifikasi yang jelas bagi mendakwa bahawa produk tersebut memenuhi ciri-ciri sunah.

Perkara ini membimbangkan kerana semakin banyak golongan peniaga sudah berani menggunakan hadis semata-mata mahu melariskan perniagaan termasuk mendakwa produk mereka pernah digunakan Nabi Muhammad SAW.


Apakah garis panduan yang perlu diikuti oleh peniaga supaya tidak menimbulkan salah faham tentang pemakanan sunah ini?

Di dalam Islam, sebarang pengeluaran yang memenuhi konsep dan syariat halalan toyyiban (bersih) sudah termasuk dalam kategori sunah kerana mengikut ajaran baginda Rasulullah SAW.

Apa yang penting dalam bermuamalat adalah mencari keredaan Allah SWT dan kerana itu tidak perlulah mendakwa apa-apa produk sebagai sunah dengan niat melariskan barangan.

Tidak memperdaya, tidak menipu dan tidak ada sebarang muslihat sehingga sanggup mengaitkan dengan Islam sedangkan Islam tidak menentukan sebarang produk mesti dilabelkan dengan perkataan sunah.

Ini termasuklah juga mendakwa air minuman yang ditawaf atau dibacakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan sebagainya.

Sedangkan ia hanyalah air galian semata-mata.

Jadi tidak perlulah dikaitkan dengan sebarang perbuatan ibadat dan kemudiannya dijual dengan harga yang mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 8:01 AM