Redzuan Muharam

Kajang: "Saya akui sukakannya (suami) kerana rupa dia seiras watak hero dalam novel yang saya tulis,"

Demikian kata penulis novel dikenali Hash Aulia, 31, yang ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki warga Iraq, Khaleefah Muhammad, 26.

Hash Aulia selamat diijabkabulkan dengan Khaleefah pada 9 Februari lalu dan kisah itu mendapat perhatian warganet selepas wanita berkenaan memuat naik video di TikTok.

Kisah pasangan itu semakin mendapat perhatian selepas Hash Aulia berkongsi pengalaman membawa Khaleefah beraya di kampung halamannya dekat Tanah Merah, Kelantan.

Menyingkap kisahnya, Hash Aulia berkata, dia tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh dengan lelaki warga asing jauh sekali berkahwin pada tahun ini.

Bagaimanapun, perkenalan dengan Khaleefah membuka pintu hatinya untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya biarpun berbeza latar belakang dan asalnya mereka sekadar kekasih kontrak.

Lebih istimewa apabila Hash Aulia dan Khaleefah berkongsi tarikh lahir sama iaitu pada 27 Jun.

"Saya kenal suami di laman sosial selepas pulang dari Turkiye dan untuk seronok saja kerana tengok gambar profailnya sama dengan hero saya bayangkan dalam novel yang ditulis.

"Mulanya tak percaya juga tengok mukanya macam 'scammer' (penipu) dan tak terima ajakannya untuk berjumpa sehingga yang ketiga, itu pun selepas semak latar belakangnya.

"Selepas tiga kali berjumpa, saya katakan kepadanya kalau nak teruskan berkawan kena jadi kekasih walaupun saat itu perasaan sayang tak pernah wujud… suami setuju kerana hubungan itu hanya berlandaskan kontrak semata-mata selama enam bulan demi sebuah ilham untuk saya menulis novel.

"Perwatakan suami yang baik dan ambil berat, menerbitkan rasa sayang dalam hati saya. Apatah lagi, dia menjaga saya selama 15 hari waktu berada di wad dan itu buat kami jadi rapat.

"Itu yang buat saya tergerak nak teruskan hubungan dengan ajaknya berkahwin," katanya ketika ditemui di sebuah kafe dekat Prima Saujana, di sini.

Hash Aulia berkata, mulanya dia tidak yakin juga kerana suaminya ada rupa dan membayangkan kemungkinan buruk jika teruskan perhubungan.

Menurut Hash Aulia, perasaan itu ada kerana pengalamannya yang buruk, pernah menjalin hubungan dengan lelaki lain sebelum ini namun tidak berakhir dengan baik kerana terputus di tengah jalan.

"Tapi sebab tak nak buang masa dalam hubungan yang tak tahu hala tuju, saya ajak dia berkahwin. Dan jika ditolak maka saya terima hubungan setakat sampai disitu saja.

"Waktu itu, suami beritahu dia nak fikir dan pulang ke negara asalnya dulu... jika setuju dia akan datang semula membawa dokumen penuh dan tak sangka dia kembali.

"Jadi, saya nekad berkahwin dengannya kerana nampak dia boleh pimpin saya walaupun tak pernah ada niat atau pasang impian pun kahwin dengan lelaki warga asing.

"Sebelum kahwin, saya beritahu emak... emak tanya saya bahagia dan selesa atau tidak serta terima jika itu yang saya nak," katanya.

Seperti pasangan lain, Hash Aulia juga berharap semoga jodohnya dengan suami berpanjangan.

"Itu harapan saya dan syukur kerana kami boleh terima serta sesuaikan diri dengan satu sama lain walaupun berbeza negara juga latar belakang.

"Alhamdulillah, ramai doakan kami bahagia hingga ke anak cucu. Sehingga ada gurauan mengatakan ingin menjadi penulis novel supaya dapat suami seiras hero novel.

"Bagaimanapun, ada jugaa komen negatif dan kita pun sering dimomokkan dengan keburukan berkahwin dengan bangsa asing sedangkan setiap perkahwinan ada baik buruknya. Tak kira warga asing, mahupun warga tempatan.

"Diharap perkongsian saya itu buat mereka yang masih solo tidak risau kerana jika bukan di sini (negara ini), jodoh mungkin ada di luar negara," katanya.

Sementara itu, Khaleefah berkata, dia tertarik dengan Hash Aulia seawal pertemuan kali pertama lagi.

"Saya nampak dia seorang yang baik hati, mesra, suka beri semangat dan apa pemikiran hampir sama dengan saya.

"Keluarga saya pun terima isteri tanpa fikirkan perbezaan adat dan budaya.

"Diharap hubungan kami berdua berkekalan sampai akhir hayat," katanya yang masih menuntut dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 8:02 PM
Penulis novel, Hash Aulia, 31, dan suami, Khaleefah Muhammad, 26 di Prima Saujana, Kajang. FOTO AZIAH AZMEE
Penulis novel, Hash Aulia, 31, dan suami, Khaleefah Muhammad, 26 di Prima Saujana, Kajang. FOTO AZIAH AZMEE