MALAYSIA  negara yang mengamalkan penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.
MALAYSIA negara yang mengamalkan penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.
KAFE AHAD

Ketika majoriti umat Islam di negara ini menyambut 1 Syawal pada Rabu lalu, masih terdapat golongan minoriti yang mempertikaikan keabsahan sambutan berkenaan. 

Mereka mengambil pendirian untuk meneruskan berpuasa sedangkan umat Islam sudah menyambut 1 Syawal pada tarikh itu. 

Ia jelas mencetuskan suasana kurang harmoni sekali gus mempertikaikan pihak berkuasa agama di negara ini. 

Bagi memberi pencerahan lanjut, wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN menemubual Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) DR ZAMIHAN MAT ZIN yang berpengalaman lebih enam tahun menganjurkan Kursus Ilmu Falak kepada pegawai Hal Ehwal Islam seluruh negara sejak 2006 hingga 2016.

Terdapat komen netizen atau mungkin segelintir golongan yang mempertikaikan keputusan falak menggunakan hujah melihat anak bulan perlu dengan mata kasar, tidak boleh dengan teknologi, komen Dr?

Pertamanya, mereka tidak faham disiplin ilmu falak ini dan mereka perlu tahu keadaan bentuk muka bumi di negara ini termasuk persekitarannya.

Negara ini secara geografi dilitupi awan serta mengalami hujan serta panas hampir sepanjang tahun, melihat anak bulan dengan mata kasar adalah hampir mustahil.

Islam itu sifatnya menyeluruh dan jangan kita jumud atau sempitkan pemikiran kita.

Kedua, penilaian falak itu dilakukan individu yang berpengetahuan serta mahir dalam disiplin berkenaan, ia juga dihadiri mufti, pastinya semua pertimbangan mengikut neraca syarak sudah diambil kira.

   

Secara umumnya bagaimanakah kaedah penentuan hilal ini diamalkan di negara ini?

Pencerapan anak bulan adalah suatu proses yang penting dalam menentukan awal Ramadan, Aidilfitri atau awal Zulhijah.

Proses penentuan ini dilakukan oleh ulama dan ahli falak menggunakan pelbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau menggunakan teodolite dan teleskop bagi proses pengamatan hilal.

Pertama, 'rukyah' iaitu mencerap anak bulan semata-mata.

Kedua, 'hisab falak' iaitu kiraan hari semata-mata.

Ketiga, 'rukyah dan hisab' dengan menggunakan 'kriteria imkanur rukyah' iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.

Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.

Justifikasi pemilihan kaedah tersebut adalah sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan 'qamariah' berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

Kriteria imkanur rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan dua ketetapan.

Pertama, ketinggian hilal tidak kurang daripada lima darjah ketika matahari terbenam. Kedua, jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada lapan darjah ketika matahari terbenam.

Namun apa yang diisytiharkan Penyimpan Mohon Raja-Raja Malaysia adalah tiga bulan saja, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Pihak berautoriti bertanggungjawab menyusun dan menyemak Takwim Hijrah yang diguna pakai agar betul dan tepat dengan peredaran bulan sebenar.

Demikianlah, kaedah penentuan anak bulan yang dilaksanakan pada setiap 29 hari bulan hijrah oleh pihak berautoriti di Malaysia melalui Unit Falak di Jabatan Mufti setiap negeri dengan sinergi pakar dalam bidang astronomi daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jawatankuasa Teknikal Falak Kebangsaan dan wakil institusi pengajian tinggi utama negara.

   

Apa nasihat Dr kepada mereka yang seolah-olah mempertikai keputusan pihak berkuasa?

Jika ada golongan yang tidak berpuas hati dengan kaedah penentuan hilal di negara kita maka mereka boleh merujuk isu berkenaan kepada mana-mana Jabatan Mufti Negeri.

Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti akan memberi pencerahan kepada mereka mengenai kaedah pencerapan hilal dan disiplin berkaitan.

Ini kerana semua Jabatan Mufti Negeri menggunakan kaedah yang sama berkaitan penentuan hilal Ramadan, Syawal dan Zulkaedah dan lain-lain.

Jika mereka masih tidak berpuas hati maka mereka boleh memohon untuk mengadakan perbincangan ilmiah bersama Jawatankuasa Teknikal Falak Kebangsaan yang dianjurkan Jakim dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan, Insya-Allah mereka pasti beroleh pencerahan mengenai isu ini.

Pada pandangan Dr, mengapa golongan ini sukar untuk menerima kaedah penentuan yang sudah diamalkan sejak sekian lama?

Mereka sukar terima sebab mereka tidak menguasai ilmu falak syarii dengan cara yang betul.

Mereka sepatutnya belajar secara berguru, kitab ke kitab, mengambil kursus falak syarii di mana-mana premis anjuran agensi agama atau mengikuti kursus asas lanjutan anjuran mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT), merujuk Unit Falak, Jabatan Mufti Negeri, bertanyakan pakar falak syarii atau merujuk Bahagian Penyelidikan Jakim dalam hal ni.

Selain itu, mereka perlu buang sikap prejudis yang ada di dasar hati mereka terhadap pihak autoriti agama.

Bersangka baik lebih mengamankan hati daripada mencetuskan fitnah, leraikanlah sikap taasub kepada mana-mana guru yang berfikiran sempit supaya minda kita lebih terbuka dengan kaedah fiqh, ruangan falak syarii yang luas dan mampu memanfaatkan pengaplikasian teknologi kontemporari demi kebaikan umat sejagat.

   

Berdasarkan komen netizen, ada yang berpandangan, mereka ini perlu dididik agar tidak terus terpesong. Pandangan Dr bagaimana?

Ya. Saya amat bersetuju. Mereka yang berfikiran jumud ini perlu 'disekolahkan' supaya minda prejudis mereka terbuka, menghormati fatwa pemerintah dan tidak mencetuskan fitnah dalam urusan agama.

Nabi SAW pernah bersabda bahawa fitnah itu sedang tidur dan jangan kamu sesekali membangkitkannya.

   

Apakah hukum mentaati sesuatu keputusan fatwa atau dasar yang ditetapkan kerajaan dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia?

Umat Islam di negara ini wajib mentaati sesuatu keputusan fatwa atau dasar yang ditetapkan kerajaan bagi pengurusan hal ehwal di negara ini.

Ia sebagaimana yang diterangkan dalam ayat al-Quran bermaksud: "Hai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul (Nya) dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Imam Al Qurthubi menukil ucapan seorang ulama Tabiin, Sahl bin abdullah at-Tasturi: "Taatilah sultan (pemerintah) mengenai tujuh perkara: Pencetakan wang dirham dan dinar, permasalahan ukuran dan timbangan, hukum hakam, urusan haji, solat Jumaat, dua hari raya (Aidilfitri dan Aildiladha) serta jihad."

Kesimpulannya, seorang Muslim yang baik ialah yang mengambil berat kefahaman agamanya, menjaga amalan dan akhlaknya serta tidak melanggar keputusan pemerintah berkaitan kepentingan umat Islam setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 9:01 AM