KUALA LUMPUR 27 JUNE 2014.Pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan cerapan Anak Bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur.NSTP/Effendy Rashid
KUALA LUMPUR 27 JUNE 2014.Pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan cerapan Anak Bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur.NSTP/Effendy Rashid
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan berpuasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ditetapkan pada Ahad, 5 Jun bersamaan 29 Syaaban 1437 Hijrah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha berkata, tarikh itu ditetapkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dan cara penetapannya menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab (hitungan) berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) seperti yang disepakati oleh negara anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Othman berkata, stesen rujukan yang digunakan dalam analisis data untuk penentuan awal bulan hijriah adalah di Tanjung Atiam, Sabah dan di Tanjung Chinchin, Langkawi.

Katanya, dua stesen rujukan ini dipilih berdasarkan kesesuaian kedudukan geografinya, iaitu Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat manakala Tanjung Atiam pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia.

"Analisis data yang berpandukan kepada kriteria Imkanur-Rukyah adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.

"Atau ketika bulan terbenam,umur anak bulan tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Othman yang juga Pengerusi Panel Pakar Falak JAKIM berkata, Jawatankuasa Rukyah Negeri-Negeri yang terdiri daripada Mufti Negeri sebagai ketua rombongan, Ketua Hakim Syarie, Pengarah Jabatan Ukur Negeri atau wakilnya yang beragama Islam dan seorang ahli falak akan melaksanakan rukyah hilal di 29 tempat cerapan rasmi di negeri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 6:26 PM