KEADAAN motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa pasangan suami isteri. FOTO ihsan Polis
KEADAAN motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa pasangan suami isteri. FOTO ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Jeli: "Sebelum ini mereka pulang ke kampung dengan kereta, namun tidak menyangka keputusan balik beraya dengan motosikal meragut nyawa mereka suami isteri," luah Mokhtar Jusoh, 63.

Mokhtar adalah abang ipar kepada Saharudin Mohd Yusoff, 50 yang maut bersama isteri, Azilawati Jusoh, 50 selepas motosikal berkuasa tinggi BMW yang dinaiki terbabas di Kampung Bukit Tok Ali, Jalan Persekutuan Jeli-Dabong, di sini, jam 9.15 pagi semalam.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada polis sekitar jam 9.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian namun akibat kesesakan jalan raya, dia hanya sempat menatap wajah kedua-dua mangsa di Unit Forensik Hospital Jeli.

"Pada awalnya, saya dimaklumkan bahawa hanya Saharudin yang meninggal dunia dan ketika dalam perjalanan ke hospital, saya sekali lagi saya menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa Azilawati juga sudah tiada.

"Saya diberitahu bahawa arwah Azilawati sempat memberikan kata laluan telefon bimbitnya kepada orang awam yang membantu mereka sebelum dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berhampiran.

"Sebaik selesai urusan bedah siasat, pasangan ini kemudian dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas, jam 4 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mokhtar berkata, arwah Azilawati yang juga adik kepada isterinya, Azizah Jusoh, 53, disifatkan seorang yang peramah dan mereka pasangan suami isteri memang minat dengan dunia permotoran berkuasa tinggi sejak lebih 10 tahun lalu.

"Mereka bergerak pulang awal sehari sebelum Aidilfitri dengan motosikal dari Sepang, Selangor ke Chetok, Pasir Mas kerana mahu mengelak daripada kesesakan lalu lintas. Malah, dari awal mereka tidak memaklumkan kepada keluarga bahawa akan pulang bermotosikal kerana tidak mahu kami semua bimbang.

"Malam kelmarin, mereka berdua makan malam di rumah kami dan arwah Saharudin dilihat sangat berselera selain menghabiskan ulam buah betik yang dicelur. Namun, tidak sangka rupanya itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya.

"Adik ipar saya ini menetap di Kota Warisan, Sepang dan sudah biasa bermotosikal jarak jauh kerana memang ia menjadi hobi mereka berdua, tetapi kami tidak menyangka mereka meninggal juga kerana bermotosikal," katanya kejadian berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke Sepang.

Menurutnya, bagaimanapun, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah walaupun diuji ketika semua umat Islam sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Suprintenden Saari Yaacob, ketika dihubungi berkata hasil siasatan mendapati motosikal berkuasa tinggi BMW yang ditunggang mangsa dari arah Jeli ke Dabong masuk ke laluan bertentangan dan terbabas ke semak selain melanggar sebatang pokok.

Jelasnya akibat kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng cedera parah dan maut ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah di sini, dan jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 2:20 PM