ANAK ketiga, Mohd Arif Helmi (tengah) tidak menang tangan membantu Mokhtar menjual roti pada musim cuti.
ANAK ketiga, Mohd Arif Helmi (tengah) tidak menang tangan membantu Mokhtar menjual roti pada musim cuti.
PERLU memastikan kayu yang dimasukkan ke dalam tempat pembakar menjadi bara.
PERLU memastikan kayu yang dimasukkan ke dalam tempat pembakar menjadi bara.
TEPUNG yang sudah siap diuli membentuk doh diletakkan di rak selama dua jam.
TEPUNG yang sudah siap diuli membentuk doh diletakkan di rak selama dua jam.
MOKHTAR dan Norhasimah mengusahakan perniagaan roti sejak 32 tahun lalu.
MOKHTAR dan Norhasimah mengusahakan perniagaan roti sejak 32 tahun lalu.
Rosman Shamsudin


Rotinya berbau harum kerana dibakar menggunakan ‘ketuhar’ diperbuat daripada binaan simen, manakala bahan bakarnya pula ialah kayu.

Tidak hairanlah roti yang dihasilkan Mokhtar Ahmat Habib, 53, bersama isterinya Norhasimah Amir, 49, sejak 32 tahun lalu mendapat sambutan hangat.

Buktinya, saban hari pelanggan sanggup beratur di luar kilangnya berhampiran Pasar Awam Slim River, Perak, untuk merasai roti yang mempunyai rasa dan aroma tersendiri, selain membangkitkan nostalgia roti zaman dahulu.

Mokhtar berkata, beliau mengambil keputusan berhenti kerja di Tanjung Malim pada tahun 1984 untuk mempelajari teknik dan kaedah membuat roti daripada arwah ayahnya, Mohd Taqi Habib, 82.

Pada masa itu, ayahnya membuat roti dengan bantuan lapan pekerja dan menjajanya menggunakan basikal di sekitar kampung di Slim River.

“Ketika itu persaingan membuat dan menjual roti sangat hebat kerana ramai yang mengusahakannya sehingga peniaga terpaksa membahagikan kawasan perniagaan sesama mereka,” katanya.

Katanya, pengalaman sejak bangku sekolah melihat ayahnya membuat roti memudahkan dia mempelajari teknik dan kaedahnya secara mendalam apabila menyedari perniagaan itu berpotensi jika diusahakan dengan tekun.

Katanya, ayahnya tidak banyak mengajar tetapi meminta dia melihat cara membuat roti bermula dengan membuat adunan tepung, menguli sehinggalah membakar menggunakan pembakar tradisional yang berusia kira-kira 60 tahun itu.

Bermula saat itu, dia keluar menjaja roti menggunakan motosikal Honda C70 yang dibeli ayahnya ke kawasan kampung. Apabila mendapat sambutan daripada pelanggan pelbagai keturunan, semangat untuk memajukan perniagaan itu makin berkobar-kobar.

“Pada tahun 1991 ketika ayah menunaikan haji di Makkah, saya terus mengambil alih sepenuhnya kilang roti ini dengan dibantu 14 pekerja ketika itu dan masih mengekalkan teknik dan kaedah dipelajari daripada ayah.

“Pesan arwah ayah, ‘berniaga kena sabar’ terus menjadi pegangan hidup saya sehingga kini,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, kini dia dan isteri yang kadangkala dibantu anak mereka tidak menang tangan menerima kunjungan pelanggan yang sudah menunggu di luar kilang sebelum dibuka jam 11.30 pagi.

Malah, dia kini tidak perlu keluar menjaja lagi kerana pelanggan sendiri datang ke kilang itu untuk mendapatkan roti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:04 AM