RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang, hari ini.

"Pengadu mendakwa pada 4.32 pagi melihat hantaran di laman sosial Facebook berkaitan satu bentuk penghinaan ke atas kalimah Allah.

"Tertera lambang menyerupai kalimah Allah di tapak kasut jenama syarikat tempatan. Hantaran itu dikongsi lebih 8,000 orang," katanya kepada Harian Metro.

Bertindak atas laporan itu, beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Razarudin, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan saksi berkaitan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta sebuah syarikat kasut memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam berhubung logo tapak kasut mereka yang didakwa mirip kalimah Allah.

Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perkara itu pagi ini apabila gambar kasut tersebut tular di media sosial.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilapor mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanggil pihak berkaitan logo kasut itu, esok.

Beliau juga dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 6:58 PM