Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Vern's Holding Sdn Bhd (Vern's) mengakui isu penjualan kasut tertera logo didakwa mirip kalimah Allah sebagai pengajaran yang tidak ternilai untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Pengasasnya, Ng Chuan Hoo berkata, beliau memahami isu yang berlaku tidak menggembirakan dan mengguris hati umat Islam di negara ini.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Ah Foo sambil menunduk di hadapan media, memohon maaf kepada seluruh umat Islam terhadap isu yang berlaku.

"Saya faham, (isu ini) tak menggembirakan umat Islam dalam hal ini dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sudah memberi tunjuk ajar.

"Saya sedia memberi kerjasama penuh dan penjelasan kepada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui selepas hadir memberi keterangan kepada Jakim di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada jam 11 pagi untuk memberi keterangan mengenai isu penjualan kasut dikeluarkan syarikatnya yang didakwa tertera logo mirip kalimah Allah pada tapaknya.

NG Chuan Hoo berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan berhubungan isu kalimah Allah pada tapak kasut di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
NG Chuan Hoo berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan berhubungan isu kalimah Allah pada tapak kasut di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad

Proses mengambil keterangan itu berlangsung kira-kira sejam sebelum lelaki berusia 51 tahun itu keluar meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Jakim.

Ah Foo berkata, pihaknya akan belajar daripada kesilapan yang berlaku dan memberi jaminan akan lebih sensitif pada masa depan.

"Saya nak belajar dari kesalahan ini supaya pada masa depan akan lebih sensitif dan berhati-hati.

"Kita perlu hormat antara satu sama lain walaupun ini sebenarnya adalah isu salah faham," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.

Ia susulan tular foto kasut yang memaparkan logo berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Malah, polis setakat ini sudah merampas 1,145 pasang kasut jenama syarikat itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 1:19 PM