Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Memang ralat hilang motosikal itu. Sekarang ini saya tidak dapat berniaga sebab tiada kenderaan.

“Saya macam 'patah kaki' sekarang ini tak boleh buat apa-apa. Duduk saja di rumah,” kata pesara kerajaan, Ahamad Salleh, 71.

Cerita kehilangan motosikal roda tiga yang digunakannya untuk berniaga rojak buah dan air cincau Sabtu lalu tular di laman sosial.

Motosikal jenis Yamaha, nombor pendaftaran BEA 3675 milik adiknya itu hilang dipercayai dicuri berdekatan lampu isyarat hadapan Klinik Amir, Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang.

“Saya pergi bank sekejap, lepas itu nak balik singgah minum dengan kawan lebih kurang pukul 6 petang.

“Tengok-tengok dah hilang. Saya tinggalkan dalam masa setengah jam sahaja,” katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Mat.

Laporan polis kemudian dibuat anaknya pada hari yang sama di Balai Polis Bukit Tinggi, Klang.

Pak Mat berniaga sejak 30 tahun lalu di belakang Sekolah Agama Kampung Raja Uda, Klang dari Ahad hingga Khamis dari 10 pagi hingga 4 petang.

Akibat kehilangan motosikal itu, dia kehilangan pendapatan kira-kira RM100 sehari kerana tidak dapat berniaga.

Dia kemudian menghebahkan kepada rakan-rakan supaya memberitahunya jika ternampak motosikal itu.

“Saya masih mahu berniaga. Kalau tak jumpa motosikal itu, mungkin terpaksa beli yang terpakai.

“Itu pun saya anggarkan dalam RM6,000 ke RM7,000 harganya,” katanya.

Pak Mat berkata dia amat menghargai sekiranya ada pihak yang sudi membantunya mendapatkan motosikal roda tiga untuknya berniaga.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 112044140182 atas nama Ahamad Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 5:54 PM