BETO Kusyairy mahu cipta detik terindah bersama seluruh ahli keluarga, sentiasa sokong sahabat lama.
BETO Kusyairy mahu cipta detik terindah bersama seluruh ahli keluarga, sentiasa sokong sahabat lama.
Ridzuan Abdul Rahman


Walaupun hanya untuk kempen Baju Melayu Elrah Exclusive, lakonan Beto Kusyairy, 44, dalam filem pendek berjudul Mak amat menyentuh perasaan.

Beto dilihat kurang dihargai oleh ibunya (lakonan Fatimah Abu Bakar) kerana kenakalannya. Kasih sayang ibunya lebih tertumpah kepada abangnya (lakonan Sharnaaz Ahmad) yang berperwatakan baik dan mendengar kata.

Bukan saja penonton, cerita dari kisah benar pemilik Elrah Exclusive, El Azman ini turut terkena tempiasnya kepada Beto

sendiri.

"Mudah-mudahan Mak dapat sambutan apabila ditayangkan di YouTube. Semoga dapat beri inspirasi kepada penonton. Apa yang kita ada sekarang kalau permulaannya tak baik tak bermakna pengakhiran pun tak baik juga.

"Yang paling utama adalah doa ibu amat-amatlah penting. Ada keberkatan dan kemuliaan daripadanya itu penting. Saya memang terkesan dengan pengalaman El Azman.

BAKAL tampil dengan dua filem hebat tahun ini.
BAKAL tampil dengan dua filem hebat tahun ini.

"Justeru, saya sekarang dalam fasa mencipta detik-detik yang indah bersama seluruh ahli keluarga saya," katanya.

Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman berkata, kesedaran mula timbul dalam dirinya sama ada mampu bernafas setakat mana dan sama ada sempat atau tidak berbakti kepada ibu bapa.

"Saya membesar dalam suasana hubungan dengan mak begitu-begitu saja. Ada nakalnya masa zaman kanak-kanak. Kadang ada juga buat orang tua kecil hati.

"Tapi fasa itu yang mendidik saya sekarang untuk lebih menghargai orang. Kita nampak apa yang berlaku sekarang dimana usia bukan penentu ajal maut. Tak semestinya tua itu pergi dulu. Yang muda pun boleh pergi awal.

"Kita tak tahu apa akan berlaku. Jadi luangkanlah masa dengan orang-orang tersayang selagi boleh. Saya tinggal di Taman Tun Dr Ismail, manakala keluarga masih tinggal di Taman Ehsan, Kepong. Ramadan ini saya ada juga masa untuk berbuka puasa di Kepong," katanya.

Terlanjur berbicara berkenaan 'kampung halaman', Beto berkata, walaupun Taman Ehsan sebuah taman perumahan, tapi masih ada suasana kampungnya.

"Seronok saya dan kawan-kawan main perang-perang dan macam-macam lagi. Tapi taklah sampai tahap main meriam. Ponteng puasa itu perkara biasa.

"Kawan-kawan pula ada yang dah berhijrah, namun mana yang tinggal kami masih berhubung dan tak putus ukhwah. Lagipun sekarang ada kumpulan WhatsApp. Dalam kumpulan itu ada sekitar belasan orang.

"Kami berkawan dari tadika sampai sekarang. Mereka menghormati saya dan tak selalu mesej. Ia hanya berbunyi bila ada benda penting. Kalau saya tak 'reply' (balas) mereka faham saya sibuk," katanya.

Beto berkata, sekiranya ada kesempatan, mereka akan berbuka puasa bersama.

"Setiap tahun ada buat cuma tengok siapa yang lapang bolehlah sertai. Kami berkumpul sekitar situ saja untuk rasa suasana dulu-dulu.

"Kadang-kadang, jika ada kesempatan saya akan singgah sokong kawan-kawan yang berniaga di situ," katanya yang akan tampil dengan filem Original Gangster arahan Syamsul Yusof dan Reversi arahan Adrian Teh tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:00 AM