PENDUDUK melupuskan sampah di tempat pembuangan sampah yang uzur serta tidak diselenggara di PPR Lembah Subang.
PENDUDUK melupuskan sampah di tempat pembuangan sampah yang uzur serta tidak diselenggara di PPR Lembah Subang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Petaling Jaya: Kelihatan amat usang, kotor dan berbau busuk hingga meloyakan tekak penghuninya.

Itu situasi 'normal' kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati bau busuk berpunca sampah sarap yang tidak diurus dengan baik selain banyak longgokan najis kucing liar di tangga PPR. Panorama itu jelas amat menjijikkan.

Selain itu, terdapat banyak saluran air kumbahan di bahagian atas dan koridor PPR yang bocor dan menitis membasahi lantai tingkat satu. Ini menjadikan persekitaran PPR berkenaan bertambah teruk.

SAMPAH sarap yang tidak diurus dengan baik.
SAMPAH sarap yang tidak diurus dengan baik.

Tinjauan sama dilakukan di Flat Desa Mentari Blok 9 dan Flat Taman Petaling Utama di sini. Namun keadaan di dua flat berkenaan lebih baik berbanding PPR Lembah Subang.

Penghuni PPR Lembah Subang, Norlela Abdullah, 65, berkata, dia menetap di PPR berkenaan sejak 2010 susulan pemindahan penduduk dari kawasan setinggan berhampiran.

Katanya, meskipun sudah lali dengan persekitaran kediaman yang kotor namun dia sering tewas dengan bau busuk najis kucing dan sampah yang mencemari udara di PPR berkenaan.

"Bau busuk ini amat menusuk hidung. Walaupun pintu rumah ditutup 24 jam setiap hari, namun ia masih tidak dapat melenyapkan bau busuk itu.

"Ini menyebabkan saya kerap hilang selera makan dan hanya menjamah biskut serta roti untuk mengalas perut.

"Kehidupan di sini mencabar kerana rumah saya terletak di tingkah bawah PPR dan sering menjadi sasaran sampah sarap dan najis dibuang penghuni tingkat atas," katanya.

SAMPAH dibiarkan merata-rata di kawasan koridor.
SAMPAH dibiarkan merata-rata di kawasan koridor.

Norlela berkata, emosinya tertekan hampir setiap hari dengan keadaan itu namun dia tiada pilihan untuk mencari rumah lain berikutan tidak berkemampuan.

"Saya hanya mampu bertahan dan terus bersabar kerana pelaku pengotor penghuni PPR ini. Keadaan di sini menyebabkan saya tidak tenang dan sering gundah," katanya.

Sementara itu penghuni PPR Lembah Subang Fatin Haziqah Marjoki, 18, berkata, sikap penduduk yang gemar membuang sampah merata-rata menyebabkan jiwanya tertekan.

"Ada penduduk tidak bertanggungjawab melonggokkan sampah di hadapan lif kerana enggan membuangnya di rumah sampah di tingkat bawah. Lebih jijik apabila ada penduduk yang gemar kencing di dalam lif.

"Ada kalanya masalah ini menyebabkan emosi dan psikologi saya 'rosak' akibat amarah serta tertekan.

"Walaupun nasihat diberikan, namun mereka tetap degil dan kekal dengan tabiat buruk suka membuang sampah merata," katanya yang sudah 13 tahun menetap di situ.

KEADAAN infrastruktur yang tidak diselenggara.
KEADAAN infrastruktur yang tidak diselenggara.

Sementara itu Penghuni Flat Desa Mentari Salmah Ya, 57, berkata, ketika berpindah di situ 17 tahun lalu, keadaan di flat berkenaan bersih dan menarik.

"Namun lama kelamaan ia berubah menjadi kediaman kotor berpunca sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk.

"Mereka suka buang sampah sisa makanan merata-rata termasuk di tangga kediaman selain sengaja meninggalkan barangan seperti perabot di koridor hingga menyukarkan penghuni bergerak," katanya.

Susulan itu, dia bersama rakan mengambil inisiatif bekerja sebagai pekerja pembersihan untuk membersihkan kawasan flat itu.

"Malah, saya mengambil upah membuang sampah dari rumah penduduk kerana tidak mahu mereka membuang sampah sesuka hati," katanya.

PERSEKITARAN kotor memburukkan imej PPR.
PERSEKITARAN kotor memburukkan imej PPR.

12.3% budak, remaja ada isu mental

Lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.

Dapatan itu hasil Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dilakukan terhadap majoriti penghuni golongan B40.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kajian dilaksana dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 PPR di Kuala Lumpur dan Selangor.

LUKANISMAN. FOTO Arkib BERNAMA
LUKANISMAN. FOTO Arkib BERNAMA

Katanya, kebanyakan golongan ini mengalami kesihatan mental akibat masalah ekonomi dihadapi selepas penularan Covid-19 dan disebabkan ruang tempat tinggal kurang selesa.

"Kita turut melihat kepada kemungkinan saiz PPR dengan ruang disediakan terhad dan ditambah jumlah keluarga besar tidak dapat menampung mereka yang ada dalam rumah itu.

"Akhirnya ia menyebabkan remaja ini keluar rumah untuk melepaskan tekanan, seterusnya mengambil barang terlarang.

"Kepadatan penduduk di PPR iaitu sekitar 4,000 hingga 5,000 memberi tekanan tinggi sama ada daripada sudut gaya hidup mahupun kurang kasih sayang keluarga yang akhirnya remaja ini mendapatkan 'kasih sayang' di luar rumah," katanya.

Persekitaran pengaruhi perubahan emosi

Fakta membimbangkan apabila persekitaran kediaman kotor serta sempit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) boleh menyebabkan penghuninya mudah diserang kemurungan dan gelisah.

Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Aishah Siddiqah Alimuddin berkata, ramai penghuni perumahan seumpama itu terjejas kesihatan mental.

Menurutnya, elemen rumah sihat dan sejahtera diidamkan setiap penghuni sebaliknya dirosakkan dengan persekitaran kotor serta tidak kondusif.

"Apabila penghuni ini tidak selesa dengan persekitaran kediaman yang tidak membantu menghadapi cabaran luar, mereka mengalami perubahan emosi seperti mudah sedih, cepat marah atau bimbang.

"Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia membawa kepada gangguan emosi, pemikiran dan tingkah laku serius.

"Ini mungkin disertai gejala lain seperti sukar tidur, sukar beri tumpuan, tenaga lemah dan perubahan selera makan," katanya.

Dr Aishah Siddiqah berkata, isu itu turut membabitkan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan persekitaran kondusif sepanjang mereka membesar.

Katanya, persekitaran perumahan yang bersih akan memberikan mereka semangat untuk belajar dan mengembangkan potensi.

PENGHUNI di kediaman kotor dan tidak terurus mudah diserang kemurungan dan gelisah. FOTO Arkib NSTP
PENGHUNI di kediaman kotor dan tidak terurus mudah diserang kemurungan dan gelisah. FOTO Arkib NSTP

"Sebaliknya, persekitaran rumah kotor mungkin menyebabkan mereka sukar memberi fokus yang akhirnya mengganggu proses pembelajaran.

"Emosi negatif boleh timbul apabila penghuni tidak selesa dengan isu kesihatan dan keselamatan mereka.

"Sebagai contoh dalam situasi lain, penghuni kanak-kanak atau remaja di PPR mungkin bimbang jika rakan di sekolah mengetahui keadaan rumah mereka. Ini akhirnya boleh menyebabkan mereka kurang keyakinan diri," katanya.

Beliau berkata, tidak semua individu dalam situasi itu akan terperangkap dengan mengalami masalah kesihatan mental.

Katanya lagi, ini kerana setiap individu ada sistem sokongan dan daya tahan berbeza.

"Mereka mungkin dapat sesuaikan diri dalam menghadapi cabaran dengan sokongan di luar kawasan kediaman," katanya.

Tambahnya, amat penting bagi individu di sekeliling saling membantu menjaga kebersihan PPR," katanya.

Penyakit berjangkit mudah menular di PPR

Penghuni rumah flat atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kotor berisiko tinggi dan mudah dijangkiti penyakit berjangkit hingga membawa maut.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, persekitaran rumah flat atau PPR kerap dikaitkan dengan kewujudan sampah sarap, serangga pembawa penyakit, longgokan najis anjing atau kucing liar selain menjadi tempat pembiakan nyamuk, lipas, lalat serta tikus.

"Kehadiran serangga ini mengundang pelbagai penyakit seperti denggi, kolera, demam kepialu (tifoid), cirit birit / keracunan makanan dan penyakit kencing tikus (leptospirosis) kerana berupaya mengakibatkan kematian.

"Lalat suka hinggap, membiak di tempat kotor dan busuk seperti timbunan sampah serta najis haiwan yang terdapat banyak kuman.

"Kuman ini dipindahkan ke makanan terdedah dan menyebabkannya tercemar. Mereka yang makan makanan itu boleh mengalami masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah, demam serta cirit-birit," katanya.

PERSEKITARAN yang kotor mengundang kehadiran serangga serta binatang pembawa penyakit. FOTO Arkib NSTP
PERSEKITARAN yang kotor mengundang kehadiran serangga serta binatang pembawa penyakit. FOTO Arkib NSTP

Katanya, sampah yang dibuang merata tempat akan menyekat saliran dan ini menarik kehadiran tikus yang boleh menyebabkan penyakit leptospirosis.

"Persekitaran kediaman tidak kondusif boleh mencetuskan masalah mental seperti stres (tekanan) serta masalah sosial kepada penghuninya," katanya.

Katanya, pembangunan rumah kos rendah PPR kebanyakannya untuk golongan B40 atau berpendapatan rendah yang dipindahkan dari kawasan setinggan atau berpindah dari luar bandar ke bandar.

"Namun, kita boleh melihat pembinaan dan persekitaran rumah ini agak menyedihkan. Mungkin kerana kepadatan penduduk menyebabkan isu kebersihan terabai.

"Menjaga kebersihan di perumahan ini tanggungjawab bersama semua penduduk dan pembuangan sampah bukan saja perlu dilakukan secara berkala tetapi juga mampan," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, masalah kebersihan di perumahan itu tidak akan selesai jika mengharapkan kerajaan semata-mata kerana mempunyai tanggungjawab besar menjaga banyak kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:30 PM