TIGA individu dari Aman Palestin diiringi pegawai SPRM ketika hadir pada pendakwaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
TIGA individu dari Aman Palestin diiringi pegawai SPRM ketika hadir pada pendakwaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Shah Alam: Pengerusi Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan seorang pengarah syarikat pelaburan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 164 pertuduhan pengubahan wang haram, menipu dan pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM39.5 juta.

Bagaimanapun, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58; Awang Suffian Awang Piut, 52; serta Khairudin Mohd Ali, 49, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu mengenai wang dibelanjakan pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Katanya, turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria.

November lalu, SPRM mengesahkan membeku 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 12:53 PM