IBU Pejabat Aman Palestin yang terletak di Bandar Baru Bangi. FOTO BERNAMA
IBU Pejabat Aman Palestin yang terletak di Bandar Baru Bangi. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) belum menerima surat jawapan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung permohonan menyahbekukan akaun syarikat itu.

Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sebagai agensi penguatkuasa, SPRM perlu menunjukkan etika yang baik dengan menjawab surat yang dihantar pada 27 November lalu.

"SPRM perlu menjawab secara bertulis dan bukan melalui kenyataan media yang tidak memberi kesan.

"Setakat hari ini, memang kami tidak dihubungi mana-mana pegawai dari SPRM dan tidak menerima sebarang surat jawapan berhubung nyahbeku akaun berkenaan,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan SPRM bersedia mendedahkan kepada mahkamah justifikasi pembekuan 41 aset Aman Palestin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

Sebelum ini, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.

Muhammad Rafique berkata, sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

Terdahulu, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:52 PM