AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama rakyat ketika Kembara Kenali Borneo pada September tahun lepas.
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama rakyat ketika Kembara Kenali Borneo pada September tahun lepas.

Kuala Lumpur: Di negara ini, bukan sesuatu yang luar biasa jika ternampak susuk yang sangat dikenali ini beratur membeli ayam goreng di restoran makanan segera atau di tepi jalan raya membantu mangsa kemalangan.

Atau mungkin ada yang teringat bagaimana susuk ini mengharung banjir bagi melihat musibah menimpa rakyat.

Sekalipun di mata dunia susuk ini Ketua Negara Malaysia, bagi rakyat negara ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah umpama 'ayah dan ibu' yang menyantuni rakyat tanpa ikatan protokol.

Lantaran itu, barangkali terlupa seketika kedudukan Seri Paduka berdua, ada ahli masyarakat terlepas cakap memanggil Al-Sultan Abdullah 'Pak Cik Agong; dan 'Abang Agong' sementara Tunku Azizah disapa 'kakak.'

Air mata Raja Permaisuri yang gugur lantaran terharu melihat kesanggupan rakyat Sabah berhujan demi menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di pekan Beaufort September lalu cukup membuktikan keikhlasan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

"Terima kasih banyak-banyak. Tuanku (Al-Sultan Abdullah) dan saya akan kenang perkara ini sepanjang hayat kami. Kami minta maaf dan kami rasa bersalah kepada rakyat menunggu di luar sana dalam hujan kerana tidak boleh keluar bertemu dengan mereka.

"...hanya Allah SWT sahaja dapat membalas dan Tuanku dan saya doakan semua orang tak sakit, tak demam sebab tunggu dalam hujan begitu lama," titah Tunku Azizah dalam video berdurasi 40 saat dirakamkan sendiri baginda dan dikongsi Istana Negara menerusi Instagram.

Esok, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat balik ke Pahang, menandakan tamatnya perkhidmatan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama lima tahun sejak 31 Januari 2019.

Dalam pada itu, bagi mereka yang mempunyai pengalaman peribadi bersua muka dengan pasangan diraja Pahang ini, di sebalik kebersahajaan Seri Paduka berdua, ada aura menyerlah.

Aura itulah yang membuatkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Basir Roslan berasa sedikit gementar apabila Al-Sultan Abdullah menyapa, bertanyakan sama ada sudah makan tengah hari atau belum.

"Baginda mencemar duli beramah mesra dengan petugas media di Istana Negara, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.

"Kami 'berkampung' di depan pagar Istana Negara berhari-hari, dari awal pagi hingga lewat petang bagi melaporkan perkembangan terkini kemelut politik negara.

"Baginda yang prihatin dengan keadaan kami, berkenan menyampaikan pek makanan," katanya yang ketika itu baru dua tahun bekerja sebagai pemberita.

Keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap rakyat jelata merentasi segenap lapisan tanpa mengira latar belakang dan R Yogeswary antara buktinya.

Bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, wanita berusia 45 tahun ini antara individu bertuah menerima pingat daripada Al-Sultan Abdullah di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada Disember tahun lalu.

Lebih istimewa, baginda berkenan bertemu Yogeswary selepas berakhirnya istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu.

Berkongsi pengalamannya, Yogeswary berkata, perhatian diberi Yang di-Pertuan Agong terhadap beliau turut mengubah persepsi masyarakat berhubung kerjayanya.

"Kerjaya sebagai pengawal keselamatan sebelum ini tidak dipandang masyarakat. Namun selepas kerja saya tular dan dapat perhatian Tuanku, masyarakat mula buka mata betapa pentingnya kerja pengawal keselamatan ini," katanya.

Sebelum mendapat pengiktirafan persekutuan itu, Yogeswary tular di media sosial kerana sering membantu pesakit dan pelawat, melangkaui bidang tugas hakikinya di hospital berkenaan.

"Terpedaya' dengan penampilan dan gaya Tunku Azizah semasa membeli durian di gerainya di Gurney Drive, Georgetown, Pulau Pinang membuatkan Mohd Rafi Yaakob, 42, memanggil baginda 'kakak'.

"Seri Paduka mula datang ke gerai saya sebelum ke Istana Negara lagi iaitu sekitar 2017. Ketika itu baginda ada acara di sini, dan sejak itu boleh saya katakan baginda pelanggan tetap saya.

"Saya kerap menolak apabila baginda mahu membayar harga durian itu, tetapi baginda tetap hulurkan duit kepada saya," katanya yang berniaga raja buah sejak 2015.

Video insiden Mohd Rafi memanggil Tunku Azizah 'kakak' tular pada 2017, dan reaksi bersahaja baginda semasa berbual dengan peniaga buah durian itu dipuji rakyat yang gembira melihat sikap rendah diri baginda.

Penyelaras Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu Universiti Malaya Dr Shafa'atussara Silahudin pula berpandangan selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keperibadian dan tingkah laku rendah diri yang menempatkan baginda di hati masyarakat sebagai pemerintah yang memahami jiwa rakyat.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong pula, Al-Sultan Abdullah berjaya menterjemahkan peranan baginda selaku simbol penyatuan rakyat berbilang kaum dan institusi raja dengan baik.

Menurutnya, keperibadian Al-Sultan Abdullah boleh diibaratkan sebagai ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, memandangkan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Almarhum Sultan Abu Bakar juga berkeperibadian mulia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 7:01 AM