Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Entah berapa ribu pengguna ditipu 'hidup-hidup' dan diperdaya selepas membeli telefon pintar 'cap ayam' yang kononnya adalah telefon pintar model baharu dan tulen.

Difahamkan sindiket yang menyeludup masuk telefon pintar tiruan membabitkan pelbagai jenama terkemuka menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran penipuan terancang itu.

Rata-rata mangsa tidak menyedari ditipu sindiket yang menyasarkan mangsa dalam kalangan 'orang kampung' berikutan telefon pintar dijual disertakan kotak dan pelekat Sirim.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, kegiatan penipuan licik dan penjualan telefon pintar tiruan itu terbongkar hasil serbuan pihaknya bersama pemilik cap dagang produk itu di beberapa lokasi di Johor baru-baru ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan itu, pihaknya mendapati terdapat pelbagai taktik digunakan sindiket bagi memperdaya mangsa.

ANTARA telefon pintar kitar semula yang dirampas hasil operasi KPDN di beberapa premis di Johor.
ANTARA telefon pintar kitar semula yang dirampas hasil operasi KPDN di beberapa premis di Johor.

"Antaranya membabitkan telefon pintar terpakai yang diubah suai menyerupai telefon pintar baharu. Ada juga sindiket mengekalkan motherboard atau printed circuit board (PCB) asal telefon pintar berkenaan.

"Bagaimanapun sindiket akan menggantikan komponen lain antaranya bateri tiruan, speaker (pembesar suara) dan casing palsu pada telefon pintar berkenaan.

"Telefon pintar itu akan kelihatan tidak ubah seperti telefon pintar baharu apatah lagi sindiket akan membungkus rapi dan meletakkan pelekat hologram menyamai produk baharu," katanya.

Menurutnya, bagi mengelak penipuan ini mudah dikesan, sindiket kerap menyasarkan penduduk luar bandar sebagai mangsa.

"Biasanya telefon pintar 'kitar semula' ini dijual pada harga menyamai produk tulen iaitu melebihi RM1,000. Pelanggan akan diberikan jaminan selama hanya tiga bulan sahaja berbanding pengedar telefon pintar tulen yang menawarkan jaminan sehingga tempoh setahun.

"Namun ada mangsa menyedari ditipu apabila telefon pintar dibeli cepat rosak dan berdepan masalah gangguan PCB," katanya.

PEMERIKSAAN dilakukan pegawai KPDN terhadap premis yang didapati menjual telefon pintar kitar semula.
PEMERIKSAAN dilakukan pegawai KPDN terhadap premis yang didapati menjual telefon pintar kitar semula.

Dia berkata, penipuan terbongkar apabila pemilik telefon menghantar telefon pintar dibeli ke pusat perkhidmatan baik pulih dan alat ganti berdaftar.

"Biasanya petugas di premis ini dapat mengenal pasti telefon pintar tidak sah itu berdasarkan nombor identifikasi setiap telefon pintar atau IMEI.

"Nombor IMEI itu didapati tidak wujud atau berkongsi nombor sama dengan telefon pintar tulen.

"Berdasarkan operasi KPDN di beberapa premis di Johor, kami merampas lebih 300 unit telefon pintar palsu ini membabitkan kebanyakannya model keluaran 2 tahun lalu.

"Selain itu, terdapat juga telefon pintar ini yang tidak mendapatkan kelulusan pensijilan Sirim terhadap produk masing-masing, sebelum dipasarkan kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, rata-rata mangsa yang diperdaya ini mengalami kerugian apabila telefon pintar dibeli sukar dibaik pulih selain mangsa gagal mendapat ganti rugi berikutan ia tidak dilindungi jaminan dari pengedar sah.

PEMERIKSAAN dilakukan pegawai KPDN terhadap premis yang didapati menjual telefon pintar kitar semula.
PEMERIKSAAN dilakukan pegawai KPDN terhadap premis yang didapati menjual telefon pintar kitar semula.

Denda RM10,000 setiap unit telefon pintar palsu dijual

Beribu telefon pintar tiruan berlegar di pasaran tempatan dengan rata-ratanya sukar dibezakan dengan produk tulen.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, banyak serbuan dan rampasan dilakukan pihaknya bersama pemegang cap dagang produk tulen terhadap jenayah penipuan itu.

"Mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan produk tiruan yang memiliki cap dagangan berdaftar.

"Denda RM10,000 bagi setiap barangan tiruan dijual selain penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Itu hukuman berat menanti individu yang menjual atau pengedar barangan tiruan.

Menurutnya, bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap unit barangan dirampas selain penjara 5 tahun.

SHAMSUL Nizam. FOTO Arkib NSTP
SHAMSUL Nizam. FOTO Arkib NSTP

Beliau mengulas tindakan beberapa premis yang dikesan menjual telefon pintar tiruan susulan serbuan pihaknya di sekitar Bukit Jambul dan bandar raya Georgetown, Pulau Pinang, kelmarin.

Hasil operasi diketuai Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, sebanyak 32 telefon pintar dan 57 pelbagai aksesori telefon tiruan bernilai RM15,523 dirampas.

Menurutnya, pihak KPDN menerima aduan daripada wakil syarikat menjual telefon pintar itu sebelum menyerbu lima premis perniagaan bermula 11 pagi.

"Hasil pemeriksaan terhadap kesemua premis itu, KPDN merampas 32 telefon bimbit dan 57 aksesori telefon pintar dipercayai tiruan iaitu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Akta Cap Dagang 2019.

"Selain itu, beberapa dokumen lain turut dirampas," katanya.

SINDIKET menyeludup masuk telefon pintar tiruan membabitkan pelbagai jenama terkemuka menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran.
SINDIKET menyeludup masuk telefon pintar tiruan membabitkan pelbagai jenama terkemuka menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran.

Beliau berkata, tindakan sama turut diambil terhadap beberapa premis di Johor yang dikesan menjual telefon pintar palsu dan alat ganti tiruan.

"Sebanyak dua premis diserbu dan 350 unit telefon pintar dirampas dalam operasi KPDN di Johor," katanya.

Menurutnya, KPDN turut memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.

Peranti mungkin dipasang pepijat

Penawaran harga yang rendah berbanding harga pasaran menjadi 'daya penarik' kepada orang awam untuk membeli peranti pintar tiruan.

Hakikatnya, pengguna yang membeli produk tiruan ini khususnya berkaitan dengan alat telekomunikasi terdedah dengan pelbagai ancaman serta kemungkinan peranti itu sudah dipasang dengan pepijat atau perisian hasad untuk 'menyedut' setiap butiran peribadi mangsa.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pengguna selalunya sangat tertarik dengan penawaran harga yang rendah dan menjadi mangsa kepada pembelian produk asli sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

"Bagi segelintir pengguna, mereka merasakan bahawa penggunaan peranti pintar tidak membahayakan baik daripada segi keselamatan mahupun perlindungan data peribadi.

"Sebetulnya, pengguna peranti pintar mendedahkan pengguna dengan 1,001 kemungkinan termasuk peranti berkenaan sudah dipasang dengan perisian hasad yang direka untuk menyedut setiap maklumat pengguna.

"Pastinya peranti tiruan ini tidak menyokong keselamatan terkini (security patch) yang akan dihantar oleh pembuat peranti apabila wujud kerentanan dalam sistem mereka," katanya.

SIRAJ.
SIRAJ.

Siraj berkata, keadaan itu akan mendedahkan pengguna dengan bermacam kemungkinan dalam aspek keselamatan siber dan dinasihatkan untuk tidak tertipu dengan penawaran harga rendah.

Beliau berkata, pengguna harus sentiasa berhati-hati dan tidak mudah untuk terjerat dengan penawaran harga peranti yang murah semata-mata.

"Jika dilihat semula dalam aspek penjualan peranti pintar, kita dapati sudah banyak jenama yang sah menawarkan peranti pintar mampu milik dan sudah pasti dijamin tahap keselamatan penggunaan serta perlindungan data pengguna.

"Peranti tiruan ini tidak memberikan keselamatan kepada pengguna tambahan pula ia akan memberi lebih banyak masalah termasuk sokongan aplikasi penting khususnya perbankan," katanya.

Oppo komited perangi produk tiruan

Penjualan produk tiruan adalah satu tindakan tidak beretika sekali gus menimbulkan ancaman terhadap reputasi jenama serta mampu untuk menjejaskan kepercayaan pengguna.

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Oppo menerusi pengedar sah tunggal di negara ini iaitu Jie Business Sdn Bhd sudah memulakan kempen membanteras kegiatan penjualan produk tiruan dengan usahasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menerusi satu jawapan balas Oppo kepada akhbar ini menyatakan bahawa jenama itu kekal komited untuk membanteras sebarang bentuk penipuan menerusi penjualan peranti pintar yang menggunakan nama 'Oppo' palsu.

Oppo dalam kenyataan itu menyatakan bahawa hasil kerjasama dengan KPDN sejak beberapa bulan lalu berjaya merampas barangan tiruan bernilai RM500,000.

"Ini membabitkan telefon bimbit yan disyaki tiruan dan aksesori telefon bimbit termasuk telefon yang sudah diubahsuai dengan kotak cetakan semula, bateri, selongsong, kabel pengecas USB dan beberapa aksesori lain.

"Operasi rampasan ini adalah satu kejayaan besar bagi Oppo di dalam usaha untuk menentang kegiatan pemalsuan peranti serta produk tiruan.

"Melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa, Oppo menunjukkan pendekatan proaktif untuk mengekang pengeluaran, pengedaran dan penjualan barangan tiruan, melindungi kedua-dua pengguna dan reputasi jenama," katanya dalam kenyataan itu.

PERANTI tiruan cetus pelbagai masalah selain tidak berkualiti.
PERANTI tiruan cetus pelbagai masalah selain tidak berkualiti.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa kerjasama Oppo dengan KPDN menggambarkan komitmen syarikat terhadap langkah penguatkuasaan yang ketat untuk melindungi pengguna daripada risiko yang berkaitan dengan produk tiruan.

"Di sebalik tindakan penguatkuasaan, Oppo terus menekankan inovasi dan kemajuan teknologi untuk mengukuhkan inisiatifnya terhadap produk tiruan.

"Dedikasi Oppo untuk menyediakan produk tulen dan berkualiti tinggi kekal tidak berbelah bahagi, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai jenama yang boleh dipercayai di pasaran.

"Pengguna dinasihatkan untuk membeli produk atau peranti pintar daripada wakil penjual yang sah saja," katanya.

Menurutnya, pelanggan akan terdedah kepada pelbagai risiko sekiranya membeli peranti tiruan yang boleh membawa kepada pelbagai masalah berkaitan dengan kualiti, prestasi, keselamatan, kompatibiliti, privasi dan sokongan.

Katanya, penggunaan produk tiruan juga memberi maksud menggalakkan atau menyokong rangkaian pengedaran haram yang membawa kepada kegiatan tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 12:01 PM