PERSEPSI kaitkan peranti keluaran China sebagai tidak efisien semakin menipis.
PERSEPSI kaitkan peranti keluaran China sebagai tidak efisien semakin menipis.
Muhammad Saufi Hassan

KEMUNCULAN beberapa jenama telefon pintar seperti Huawei, Oppo, Vivo, OnePlus, Lenovo dan beberapa nama lain boleh dikategorikan sebagai memecah dominasi pemain utama dalam segmen pengeluaran telefon pintar.

Jika sebelum ini, dominasi segmen berkenaan banyak dipengaruhi gergasi pengeluar barangan elektronik termasuk telefon pintar iaitu Samsung dan peranti terkemuka dari Barat iaitu Apple.

Kini, dominasi berkenaan seakan-akan sudah berkurangan apabila beberapa jenama lain yang kebanyakannya berpangkalan di China mula memasuki pasaran dunia, malah lebih mengejutkan peranti keluaran mereka semakin diterima.

SAMSUNG Galaxy Fold menjadi telefon pintar pertama boleh lipat.
SAMSUNG Galaxy Fold menjadi telefon pintar pertama boleh lipat.

Berdasarkan kedudukan pengeluar telefon pintar paling berpengaruh tahun lalu yang dikeluarkan oleh International Data Corporation (IDC) mendedahkan, Samsung masih menjadi peneraju dengan perkongsian pasaran 20.9 peratus diikuti oleh Huawei dengan perkongsian 15.8 peratus.

Pengeluar peranti berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Apple menduduki tempat ketiga iaitu 12.1 peratus diikuti Xiaomi (9.3 peratus) dan Oppo (8.6 peratus).

IDC mengeluarkan kedudukan berdasarkan prestasi beberapa jenama pada tahun lalu dan Huawei mencatatkan peningkatan 40.9 peratus manakala Xiaomi pula 48.8 peratus.

Bagaimanapun, Samsung diramal terus menguasai segmen telefon pintar pada tahun ini de­ngan beberapa siri telefon pintar mercu mereka yang menawarkan spesifikasi terkini serta prestasi yang lebih mengagumkan.

SAMSUNG masih mendominasi segmen telefon pintar secara keseluruhan.
SAMSUNG masih mendominasi segmen telefon pintar secara keseluruhan.

Jenama berkenaan juga disifatkan sebagai ‘sangat kuat’ namun jenama yang wajar diberikan perhatian adalah Huawei memandangkan syarikat itu berani melakukan inovasi yang pelbagai dalam pengeluaran peranti mereka.

Kedudukan itu jelas menunjukkan kemunculan jenama baharu menawarkan telefon pintar mampu milik dengan spesifikasi yang baik semakin diterima masyarakat.

Ia bukan saja berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia sedang ‘menikmati’ peperangan teknologi ini yang menghasilkan peranti lebih murah.

Persepsi yang mengaitkan peranti keluaran negara kuasa ekonomi dunia itu sebagai tidak efisien semakin menipis apabila mereka membuktikan peranti beberapa syarikat itu sudah diiktiraf antara yang terbaik.

Kebanyakan jenama berkenaan, Huawei paling menyerlah menerusi beberapa inovasi berani yang diterapkan dalam pengeluaran peranti mereka dan teknologi yang dihasilkan syarikat itu semakin diterima umum.

Walaupun begitu, dominasi pasaran dunia dalam segmen telefon pintar ini masih dikuasai oleh beberapa pemain utama termasuk Samsung memandangkan produk mereka dikelaskan sebagai peranti premium.

Peperangan teknologi antara syarikat pengeluar telefon pintar ini bukan rahsia lagi malah mereka saling mengatasi antara satu sama lain menerusi pengeluaran pelbagai jenis peranti.

Sedekad lalu, umum hanya disajikan dengan pelancaran telefon pintar mungkin dua atau tiga kali dalam jangka masa setahun, namun kini, boleh dikatakan setiap bulan pasti ada peranti baharu yang menjengah pasaran.

HUAWEI antara pencabar utama kerana menawarkan telefon pintar mampu milik.
HUAWEI antara pencabar utama kerana menawarkan telefon pintar mampu milik.

Sudut positifnya, pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada aspek model, harga, spesifikasi dan jenama. Perkara itu memberikan satu impak positif iaitu pengeluar telefon pintar kini lebih berhati-hati dengan produk mereka supaya sentiasa diterima.

Malaysia tidak ketinggalan antara negara yang menjadi tumpuan pemain industri telefon pintar memandangkan generasi di negara ini dikelaskan sebagai ‘generasi muda’ yang mahu lebih banyak alternatif jenama serta kepelbagaian harga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:04 PM