ALUNAN vokal Awie undang paduan suara daripada peminat yang memenuhi lokasi persembahan.
ALUNAN vokal Awie undang paduan suara daripada peminat yang memenuhi lokasi persembahan.
Nazrulazuad


KALI terakhir Wings mengadakan konsert di Pulau Pinang ialah pada Disember 2014 ketika siri konsert jelajah album Menakluk Kosmos.

Kini, selepas lebih lapan tahun mereka kembali mengembangkan sayap menerusi konsert Wings Mega Marhean@midtown Perda, Sabtu lalu.

Konsert anjuran Hingaq Raudhah Idaman Catering & Event Management itu menghimpunkan lebih 7,000 peminat setia Wings.

Lebih mengujakan mereka sanggup berhujan demi menyaksikan kehebatan gergasi yang terus gah dalam industri muzik rock Malaysia.

Hujan yang turun sekitar jam 8 malam seakan-akan tiada berpenghujung, malah mengimbau kenangan ketika Wings merayakan Konsert 30 tahun di Stadium Merdeka pada 31 Oktober 2015 di mana situasinya hampir sama.

Tepat jam 9.40 malam, pentas Wings dibuka dengan intro Pengabdian Ku Kekasih yang digarap melodinya menjadi orkestra yang pantas membangkitkan 'mood' penonton untuk terus terpaku hingga akhir konsert.

Tiga lagu menjadi santapan penonton iaitu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Kau Bukan Brader.

SEBAHAGIAN daripada peminat yang sanggup berhujan demi menyaksikan kehebatan Wings.
SEBAHAGIAN daripada peminat yang sanggup berhujan demi menyaksikan kehebatan Wings.

"Maafkan kami kerana sedikit lewat, hujan yang turun bukan bencana, malah kita anggap ia adalah rahmat. Maka kita perlu aminkannya. Terima kasih kerana anda masih setia meskipun hujan turun," kata penyanyinya, Datuk Awie.

Wings kemudian terus mengalunkan lagu Misteri Mimpi Syakila, Opera Hidup dan Romania yang pantas mengundang paduan suara daripada peminat yang memenuhi lokasi persembahan.

Seakan-akan tiada noktah, Wings terus menghambur segala kekuatan menerusi lagu Hukum Karma. Walaupun melodinya sudah diubah, namun auranya masih tetap sebati dengan jiwa yang amarah.

"Hari ni pula hujan, hari ni pula belakang saya 'kram' (kekejangan). Terima kasih kerana terus menyokong kami. Jangan salahkan sesiapa ini semua adalah kuasa-Nya," kata Awie.

Awie turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan konsert kali ini terutama penganjur yang berusaha keras merealisasikan konsert kali ini serta kepada kelab peminat Sayap Sayap Wings yang sudah 15 tahun bersama membantu Wings untuk terbang lebih tinggi.

VOKAL penonton seraya dipintal bersama jemari Eddie (kiri) selaku pemain bass dan Edrie yang menggalas tugas ‘menjerit’ dengan gitarnya.
VOKAL penonton seraya dipintal bersama jemari Eddie (kiri) selaku pemain bass dan Edrie yang menggalas tugas ‘menjerit’ dengan gitarnya.

Belenggu Irama terus menerawang membawa 'mood' yang lebih santai. Awang Thrasher bertali arus dengan vokal penonton seraya dipintal bersama jemari Eddie selaku pemain bass.

Bagi memberi sedikit ruang kepada anggota lain, Edrie Hashim yang menggalas tugas 'menjerit' dengan gitar hijaunya seusainya maka lagu Awang Thrasher dipersembahkan.

"Alhamdulillah hujan sudah pun reda. Sudah 35 tahun usia lagu-lagu itu. Alhamdulillah anda semua masih tahu lagu itu," katanya.

Segmen seterusnya adalah sebuah segmen yang didedikasikan khas buat Loudness dan Scorpions. Segmen itu mula perkenalkan ketika beraksi di Singapura dan di Zepp Kuala Lumpur baru- baru ini.

Mereka mendendangkan lagu Hes A Women Shes A Man saduran daripada Scorpions dan Ares Lament nyanyian asal Loudness.

Penonton kemudian dibawa merentasi era kebangkitan Wings menerusi lagu Sekeping Kertas Bermaruah yang dipetik daripada album sulung, Belenggu Irama dan Harapan.

KEKUATAN jemari Sham sebagai pemain gitar.
KEKUATAN jemari Sham sebagai pemain gitar.

Penyatuan vokal penonton dan Awie menerusi lagu Taman Rashidah Utama dan Bujang Senang membuktikan bahawa rata-rata penonton yang hadir adalah mereka yang membesar dengan lagu Wings.

Syam mula mengukir nama ketika album Belenggu Irama pastinya tidak perlu dipersoalkan.

Kekuatan jemarinya dalam melaksanakan tugas sebagai pemain gitar.

Pentas kemudian dipanaskan dengan lagu Lipas Kudung, seakan-akan tiada bernoktah 'energi' yang berkarisma berkesinambungan dengan Peronda Jaket Biru dan Sejati.

Gimik Wings untuk meninggalkan pentas sentiasa tidak menjadi apabila peminat mahukan persembahan diteruskan.

Gemuruh dan Midnight Blues menjadi pilihan penutup persembahan Wings.

Terdahulu, penyampai radio Suria FM iaitu Ajak Shiro, Shuib dan Suraya Borhan membuka pentas dengan pemberian cenderahati kepada penonton manakala Tapai ditugaskan sebagai pengacara pada konsert terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 6:30 AM