Tyzo
Tyzo
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Pelbagai sebab lelaki dan wanita yang digelar 'bujang senja' berusia 40 tahun ke atas masih tidak berkahwin sehingga kini.

Antaranya disebabkan sudah selesa hidup seorang diri, masih belum menemui jodoh walaupun sudah berusia, memiliki kerjaya yang baik dan berasa selesa dengan kehidupan sedia ada.

Semakin meningkat usia, rata-rata mereka menerima hakikat sama ada akan bertemu jodoh atau sebaliknya serta meneruskan kehidupan masing-masing.


Kuala Lumpur: "Saya tidak memilih untuk membujang, tapi mungkin belum sampai masanya.

"Dari segi untuk memikul tanggungjawab, itu bukan saya lagi. Saya fikir keadaan sekarang lebih sesuai dan saya rasa selesa," demikian kata penyampai radio Suria FM, Tyzo yang sehingga kini masih belum berkahwin.

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris tidak menafikan pernah bercinta sebelum ini dan mendedahkan banyak kali bercinta dan putus cinta sehinggakan sanggup untuk melakukan apa sahaja demi wanita dicintainya.

Bahkan, kata pemenang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 itu turut pernah berhenti kerja 24 jam disebabkan cinta.

"Sakit cinta itu macam mana, saya pernah lalui. Kalau saya putus cinta sekalipun, kawan-kawan pun tak tahu yang saya putus cinta. Betapa sakitnya cinta.

"Saya pernah melalui fasa-fasa itu yang sangat buruk dalam kehidupan saya. Saya pernah berhenti kerja 24 jam hanya kerana sebuah cinta," katanya yang bekerja di bahagian teknologi maklumat di sebuah bank di ibu negara pada waktu itu.

Beliau yang menyertai dunia penyiaran pada 2004 mengakui perasaan untuk memikiki pasangan hidup masih ada.

"Sudah tentu ada (perasaan nak berkahwin). Tak pernah saya kata tak nak berkahwin. Bagaimanapun hanya sekali perasaan (tak berkahwin) itu ada dalam tahun ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas perasaan tidak mahu berkahwin itu timbul, beliau berkenalan dengan seseorang.

"Selepas lebih seminggu saya terdetik (tidak mahu berkahwin), saya berkenalan dengan seseorang. Kalau ada jodoh, saya kahwin dengan dia.

"Kalau tak ada jodoh, saya mungkin berkahwin dengan orang lain. Saya tak nak cakap apa-apa. Saya tak nak terlepas kata," kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Tyzo berkata, keluarganya juga tidak kisah dan sangat terbuka berkaitan isu perkahwinan.

"Mereka reda sahaja. Kalau ada jodoh kahwin, tak ada jodoh tak berkahwin. Cuma ada beberapa ketika mereka bercakap tentang perkara ini. Tetapi mereka memberikan saya pilihan untuk menerima atau tidak," katanya.

Beliau juga menyatakan tidak melalui situasi seperti individu bujang lain di mana saudara-mara sering bertanya bilakah ingin berkahwin.

Tyzo juga menggesa agar orang ramai untuk memahami tentang erti makna takdir terhadap mereka yang sehingga kini masih lagi belum menemui jodoh.

Zainal Alam Kadir
Zainal Alam Kadir

Saya jenis selesa hidup seorang - Alam

Kuala Lumpur: "Saya memang tak kisah, saya jenis selesa hidup seorang. Orang ramai pun saya okay, kalau seorang pun saya okay," kata selebriti serba boleh Zainal Alam Kadir, 57, yang masih membujang.

Katanya, keutamaannya adalah kepada keluarga dan beliau pernah berjanji untuk menjaga ibu bapanya ketika memulakan kerjaya di akhbar New Straits Times (NST) sebelum ini.

"Masa saya mula kerja dahulu, saya sudah berjanji untuk menjaga mak dan ayah. Dapatlah saya jaga sehingga kedua-duanya meninggal dunia. Ayah saya meninggal dunia pada 2020 manakala mak saya pula pada 2016.

"Saya betul-betul dapat jaga sampai habis (mereka meninggal dunia). Sekarang ini, baru saya nak jaga dan kisahkan diri saya sendiri.

"Pasal dulu semasa kita kerja wartawan, melancong sana-sini, mana nak fikir tentang jodoh ke apa. Ada (jodoh) adalah, kalau tidak ada, tak kisah," katanya.

Beliau yang mesra dipanggil Alam mengakui lebih menyukai kehidupan berseorangan dan ia bukan isu buat dirinya.

"Mak ayah saya pun tak pernah tanya dan adik-beradik saya pun tak pernah soal. Saya pula seronok dengan hidup saya macam ini," katanya.

Zainal Alam berkata, sewaktu muda, beliau ada cuba untuk mencari jodoh namun ia tidak seperti diinginkan.

"Masa muda-muda itu adalah. Tapi semua itu macam 'tak jalan' sahaja. Saya ini cerewet. Ada benda spesifik yang saya memang tak boleh. Saya kuat mengkritik. Saya rasa orang pun tak tahan dengan saya.

"Masa saya kerja jadi editor dahulu pun saya cerewet. Ejaan eja salah, penggunaan bahasa salah antara perkara yang saya pantang," katanya.

Beliau yang kini tinggal di Muar, Johor juga menyatakan sekiranya jatuh sakit, adik-beradik dan anak saudaranya akan datang menziarahinya.

"Adik-beradik dan anak saudara saya ramai. Kadang-kadang bila hujung minggu, mereka akan datang jenguk.

"Saya pula jenisnya menjaga hubungan dengan orang. Saya tidak pernah kesunyian. Tidak pernah tak ada pelawat. Kawan saya akan singgah. Rumah ini juga dijadikan rumah aktiviti," katanya.

Yong Lei Choo
Yong Lei Choo

Tumpu hal lain, fokus kerjaya

Kuala Lumpur: "Saya rasa mungkin jodoh saya tidak ada. Fokus dan keutamaan hidup saya terhadap perkara lain," kata pesara polis, Datuk Yong Lei Choo yang sehingga kini masih lagi bujang.

Beliau berkata, tumpuannya adalah terhadap kerjaya dan amat mengagumi wanita yang berjaya menyeimbangkan di antara kerjaya dan pada masa sama dapat menjaga keluarga dengan baik.

Lei Choo beranggapan isu berkaitan perkahwinan ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan mengaitkannya dengan masa serta pasangan yang sesuai.

Katanya, sekiranya bertemu pasangan yang bersesuaian, segala perkara seperti soal perkahwinan akan dipermudahkan.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan kepada perkara lain seperti kerjaya dan komitmen lain menyebabkan perkahwinan itu tidak akan terjadi.

"Kalau kita sudah jumpa (pasangan) dan masanya sesuai, memang terjadi (sesuatu perkahwinan). Tapi kadang kala fokus kita kepada perkara lain seperti kerjaya dan komitmen lain menyebabkan perkara itu tidak terjadi," katanya.

Pengarah bebas beberapa syarikat senaraian awam itu berkata, walaupun bujang, beliau tidak berasa kekurangan dalam kehidupannya.

"Jadi 'bujang senja' pun, anda tidak merasa kekurangan apa-apa. Anda ada orang di sekeliling seperti keluarga sendiri yang sayangkan diri anda.

"Bagi saya secara peribadi, saya tidak menyesal mengapa saya tak berkahwin (sehingga kini). Anda harus melihat semua kemungkinan," katanya yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Beliau mengakui pernah bercinta sebelum ini dan menganggap untuk menghadapi alam perkahwinan bukannya mudah.

"Kalau kata tak pernah bercinta, tipulah. Bercinta itu senang. Tapi nak mendirikan rumah tangga itu satu hal yang lain," katanya.

Beliau yang bersara daripada perkhidmatan sebagai pegawai kanan polis pada 2021 berpandangan, sama ada sudah berumah tangga atau tidak, tetap mempunyai cabaran masing-masing.

"Kalau kata bujang senja itu, saya rasa ia merupakan satu pilihan. Bukan semuanya tidak ada pilihan.

"Saya bukan nak pertahankan mana-mana pihak, golongan dan sebagainya. Tetapi bagi saya, semuanya ada baik dan buruknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:03 AM