ABDUL Wahab. FOTO NSTP
ABDUL Wahab. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang, hari ini.

Abdul Wahab, 33, hadir di balai polis berkenaan bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman jam 11 pagi tadi.

Wahab dilaporkan membuat satu laporan polis di Balai Polis Kajang sebelum dilihat keluar jam 12.57 tengah hari tadi.

Dia dan peguamnya dilihat menuju ke bilik Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk dirakam keterangan.

Pada masa ini, proses siasatan masih dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang namun butiran berhubung laporan polis yang dibuat Wahab itu masih belum dapat dipastikan.

Faizal juga memaklumkan bahawa dia akan memberikan butiran berhubung kehadiran mereka ke IPD Kajang kepada pihak media sebaik proses siasatan selesai.

Semalam, peguamnya mengesahkan bahawa anak guamnya itu hadir ke Bukit Aman bagi proses rakaman percakapan berhubung kes fitnah membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zaid dilaporkan berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan.

Tiga individu berkenaan ialah Mohammad Agus, Mr H dan pekerja sebuah hotel tempat sidang media antara Agus dan Wahab diadakan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:25 PM