RAZARUDIN Husain. FOTO Bernama.
RAZARUDIN Husain. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mendedahkan identiti individu yang disebutkan sebagai Mr H dalam kes fitnah membabitkan bekas Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Ketua Polis Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk mendedahkan identiti berkenaan memandangkan siasatan masih lagi dijalankan.

Katanya, pendedahan identiti Mr H dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sudah memanggil semula Mr H pada hari ini bagi tujuan sambungan rakaman percakapan.

"Setakat ini, polis sudah memanggil lapan individu bagi membantu siasatan," katanya.

Razarudin berkata, selain lapan individu terbabit, pihaknya mengesahkan tiada individu lain yang akan dipanggil selepas ini.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bersama seorang lelaki.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 4:18 PM