TANGKAP layar video tular adik Mahalakshmi membantu menyuap rakannya yang berstatus OKU. FOTO Tangkap Layar TikTok
TANGKAP layar video tular adik Mahalakshmi membantu menyuap rakannya yang berstatus OKU. FOTO Tangkap Layar TikTok
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tular di laman sosial video murid India dikenali adik Mahalakshmi membantu menyuap makan bagi memudahkan rakan Melayunya yang dipercayai berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down.

Menerusi video berdurasi 30 saat itu, kelihatan Mahalakshmi dan rakannya duduk di kantin sekolah dipercayai ketika waktu rehat.

Mahalakshmi dilihat menyuap makanan sambil bersembang dengan rakannya itu.

Riak wajah Mahalakshmi menunjukkan keikhlasannya melayan rakannya yang istimewa.

Rata-rata netizen memuji sikap Mahalakshmi kerana menyantuni rakannya walaupun mereka berlainan bangsa dan agama.

"Terharunya…terima kasih Mahalakshmi membantu rakan yang kurang upaya," tulis pengguna TikTok, Norhaziah Dali.

"Ibu bapa budak ini sudah mendidik anak mereka supaya sayangi semua bangsa. Penuh bertanggungjawab," tulis seorang lagi pengguna TikTok, T Chandraraajan.

"Terbaiklah, video macam ini yang patut tular, baiknya budi pekerti kamu Mahalakshmi.

"Terima kasih atas santunan budi dan kebaikan kamu," tulis Rizal.

Berdasarkan video berkenaan, tidak dinyatakan nama sekolah Mahalakshmi.

Harian Metro dalam usaha mendapatkan pelajar berkenaan untuk mengetahui kisah lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 1:09 PM