Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pelakon kontroversi, Sharnaaz Ahmad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, daripada pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni kondominium, Jun tahun lalu.

Ini selepas pihak pendakwaan menerima representasi yang dikemukakan pelakon itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim berkata, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Sharnaaz selaku OKS (Orang Kena Saman) dilepas dan dibebaskan, manakala wang jaminan dikembalikan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon Sharnaaz dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan itu.

"Saya dapat arahan HQ (AGC) DNAA terhadap OKS, itu saja puan," katanya.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah ini.

"Satu representasi dihantar ke pendakwaan dan pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap OKS.

"Dalam kes ini pengadu sudah menarik balik kes ini dan laporan polis dibuat, oleh itu satu keputusan DNA (dilepaskan dan dibebaskan) perlu diberikan," katanya

Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini, pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Sharnaaz, 38, dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan: 'Kena pikiaq banyak kali lah, tak mau buat perangai lagi' - Sharnaaz

SHARNAAZ Ahmad. FOTO NSTP
SHARNAAZ Ahmad. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:12 AM