GAMBAR ketika Siti Marha diijabkabulkan dengan Allahyarham Mohd Hashmi. FOTO arkib NSTP
GAMBAR ketika Siti Marha diijabkabulkan dengan Allahyarham Mohd Hashmi. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Belum sebulan melayari bahtera rumah tangga, Siti Marha Azuar diuji dengan pemergian suami, Mohd Hashmi Arifin yang menderita akibat pesakit barah otot (Leiomyosarcoma) tahap empat.

Berita sedih itu dikongsikan Siti Marha, 35, menerusi video di TikTok, awal pagi tadi.

"Mohon doakan suami saya, Mohd Hashmi Arifin," tulisnya ringkas pada kapsyen video berkenaan tanpa menyatakan waktu pemergian suaminya.

Menerusi video berkenaan, kelihatan sekumpulan lelaki mengangkat keranda sebelum memasukkannya ke dalam van jenazah.

Turut dimuat naik di akhir video adalah gambar hitam putih Mohd Hashmi dengan ayat mengharapkan roh suaminya dicucuri rahmat dan pergi dalam husnul khatimah.

Siti Marha ketika dihubungi Harian Metro memaklumkan suaminya meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam.

"Suami menghembuskan nafas terakhir di rumah kerana itu permintaan terakhir dia.

"Dia sanggup tunggu akak (bahasa diri Siti Marha) sebelum 'pergi' sebab akak uruskan anak-anak sekolah.

"Memang setia sampai hujung nyawa," katanya.

Siti Marha memaklumkan suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kapar, Klang, Selangor.

Portal MyMetro sebelum ini melaporkan kisah Siti Marha iaitu seorang jururawat yang ikhlas menerima lamaran pesakit, Mohd Hashmi untuk memperisterikannya.

Mohd Hashmi menerima Siti Marha yang berstatus ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia lima dan 11 tahun.

Berkat restu keluarga, mereka diijabkabulkan pada 13 November lalu dengan dengan akad nikah serta persandingan diadakan hari yang sama di sebuah dewan di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:36 PM