PERSAHABATAN kukuh serta pertembungan karakter berbeza kekuatan utama Donghae, Eunhyuk untuk menyerlah
PERSAHABATAN kukuh serta pertembungan karakter berbeza kekuatan utama Donghae, Eunhyuk untuk menyerlah
Georgie Joseph

DITUBUHKAN sejak 2011, sub unit Super Junior iaitu Super Junior-D&E terus melakar pencapaian manis sehingga kini.

Anggota duo, Donghae dan Eunhyuk berjaya hidupkan kerjaya seni khusus mereka berdua.

Donghae atau nama sebenarnya Lee Donghae, 37 dan Eunhyuk atau Lee Hyuk-jae, 37, berhasrat terus mencabar diri dan mencipta kenangan bersama.

Persahabatan yang kukuh dijadikan tunjang utama untuk maju ke depan lagi.

Lebih dua dekad menempuh susah senang bersama, tiada lain dicari mereka selain terus memajukan karier.

Eunhyuk berkata, mereka tahu banyak lagi yang ingin dicapai dan belum puas menyumbang dalam bidang seni.

"Sepanjang 18 tahun membina karier, kami sentiasa mencari inspirasi dan cabaran baharu. Di samping kejayaan yang dicapai, kami mahu sentiasa mencuba perkara baharu dan mengendali sebarang halangan menerusi pengalaman.

"Kami sudah kenal sejak berusia 15 tahun. Jadi, sudah 24 tahun kami bersahabat. Setiap saat yang kami tempuhi adalah detik untuk diraikan. Terlalu banyak kenangan manis dicipta bersama.

"Kami sangat teruja melihat apa lagi yang mampu dicipta dalam tempoh 20 tahun mendatang menerusi persahabatan ini," katanya pada sesi media eksklusif sempena D&E World Tour Fancon: DELight Party in Kuala Lumpur di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara pencapaian besar terbaharu mereka tentunya dengan penubuhan syarikat rakaman ODE yang khusus untuk mereka berdua.

Semestinya ia adalah impian yang sekian lama dinantikan kerana jenama D&E sendiri terus mekar.

Bersama ODE, mereka mampu menyuntik semangat untuk lebih rancak menyajikan sisi artistik lain. Tidak ketinggalan, mereka pastinya ingin terus mencabar diri luar dari kepompong sekarang.

SUPER Junior-D&E ingin terus mekarkan kerjaya sebagai duo.
SUPER Junior-D&E ingin terus mekarkan kerjaya sebagai duo.

"Kami ternanti untuk melihat perubahan yang lebih besar pada masa hadapan. Semoga peminat terus mengikuti kami dan kami pastikan untuk memberikan kejutan demi kejutan lagi.

"Kami sangat teruja dengan pengembaraan terbaharu ini yang bagi kami satu cabaran besar. Kami ingin menyemarakkan lagi karier menerusi penubuhan ODE ini," katanya.

Berkongsi mengenai matlamat penubuhan ODE, mereka berhasrat untuk memfokus kepada karier D&E.

Bagaimanapun, mereka menegaskan masih bernaung di bawah SM Entertainment untuk kerjaya sebagai Super Junior.

"Syarikat kami sebenarnya mengkhususkan kepada memperkembang lagi persembahan kami dalam setiap aspek. Kami masih di bawah pengurusan SM Entertainment, tapi label baharu ini bertujuan meneroka cabaran berbeza untuk kami berdua," katanya.

Walaupun tidak memperincikan perancangan yang sudah diatur ODE, Eunhyuk menjanjikan mereka akan sentiasa melihat prospek berhubung kepuasan peminat. Itu antara sasaran utama mereka.

"Selain siri jelajah Delight Party, semestinya ingin menghasilkan album baharu, adakan lebih banyak konsert, perancangan yang lebih istimewa. Kami mahu sajikan lebih banyak kejutan istimewa pada masa akan datang," katanya.

Dengan penubuhan ODE, D&E juga pastinya akan meluaskan jaringan selepas ini. Antaranya bekerjasama dengan artis lain menjayakan projek yang lebih mega.

Donghae akui fokus itu bagaimanapun diketepikan dulu buat masa ini kerana agenda D&E perlu dilunaskan terlebih dulu.

Apa pun, mereka tidak menolak akan bekerja dengan mana-mana artis Korea Selatan pada masa hadapan.

"Baru-baru ini, kami banyak bekerjasama dengan ramai artis Korea yang lain. Tapi, disebabkan sibuk dengan siri jelajah, ada kekangan untuk bekerjasama lebih rancak dengan artis lain buat masa sekarang.

"Bagaimanapun, pada masa mendatang, kami mahu bekerja dengan lebih ramai lagi rakan artis Korea lain. Kami akan terus pamerkan persembahan terbaik buat semua," katanya.

Istimewanya persahabatan Donghae dan Eunhyuk adalah sinergi mereka terbina daripada pertembungan karakter yang berbeza. Mereka jadikan perbezaan itu kekuatan utama.

SENTIASA mencari titik tengah terbaik untuk setiap hal.
SENTIASA mencari titik tengah terbaik untuk setiap hal.

Justeru, dalam apa hal pun mereka berjaya mencari titik neutral untuk memastikan keberhasilan kerja. Bahkan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka sentiasa sepakat.

"Sebenarnya kami masing-masing sangat berbeza daripada segi personaliti. Perkara yang kami gemari pun berlainan. Disebabkan perbezaan itu, saya percaya kami saling mengimbangi sesama sendiri.

"Senang untuk kami mencari titik tengah dalam setiap hal. Kami mainkan peranan besar untuk hal yang menjadi kelebihan sendiri. Jadi, tidak timbul masalah kerana kami tahu kekuatan peranan masing-masing," kata Donghae.

Dalam pada itu, Donghae turut berkongsi ikatan antara anggota Super Junior yang kekal erat.

Baginya, dia sangat seronok pengembaraan ditempuh mereka cukup indah untuk dikenang.

Mereka masih mengekalkan jalinan yang sama seperti dibina sejak awal dulu. Dia cuma berharap persahabatan itu terus kekal diserikan dengan senda tawa sampai bila-bila pun.

"Sudah terlalu banyak yang kami tempuhi dan rasai pengalaman berbeza. Saya harap setiap anggota tidak berubah mendadak kerana kami saling mengenali sejak dari umur masih muda.

"Kami masih berseloroh sesama sendiri seperti zaman remaja kami. Menyedari usia kami semakin bertambah, namun saya berharap hubungan sebegitu masih tetap kekal sama," katanya.

Pada D&E World Tour Fancon: DELight Party in Kuala Lumpur anjuran Lo-Fi Entertainment itu, ribuan peminat yang dipanggil E.L.F dihiburkan dengan gelagat selamba mereka selain beberapa persembahan nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:00 AM