AHMAD Zahid hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi hujahan akhir pendakwaan membabitkan dana Yayasan Akalbudi. FOTO ROHANIS SHUKRI
AHMAD Zahid hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi hujahan akhir pendakwaan membabitkan dana Yayasan Akalbudi. FOTO ROHANIS SHUKRI
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi hanyalah boneka dikawal Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dilantik bagi memenuhi kerusi jawatan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, turut berhujah bahawa Ahmad Zahid mempunyai kawalan penuh ke atas ahli lembaga pemegang amanah yayasan.

"Apabila seseorang individu mempunyai kawalan ke atas ahli lembaga pemegang amanah, maka, beliau dapat mengawal keseluruhan Yayasan Akalbudi," katanya.

Raja Rozela turut berhujah bahawa Ahmad Zahid mempunyai akses penuh ke atas akaun bank dan adalah penandatangan tunggal cek Yayasan Akalbudi.

Sehubungan itu, katanya, tertuduh berada dalam kedudukan di mana beliau boleh menggunakan dana yayasan sesuka hatinya.

"Beliau turut mempunyai kebolehan untuk menentukan kemasukan dan pengeluaran dana Akalbudi.

"Malah, pendakwaan berhujah bahawa Ahmad Zahid menggunakan kuasanya apabila beliau menyalahgunakan dana Akalbudi untuk kegunaan peribadi," katanya.

Raja Rozela turut berhujah bahawa pada awalnya, Ahmad Zahid dan Samsuri Tun menjalankan tugas bersama untuk menandatangani cek Akalbudi.

"Bagaimanapun, dalam keterangan Samsuri, beliau menyatakan sudah beberapa kali menandatangani cek Yayasan Akalbudi secara pra-tandatangan (pre-signed) tanpa mengetahui kegunaan cek berkenaan atas arahan tertuduh.

"Samsuri kemudian meletak jawatan menerusi surat bertarikh 4 April 2012," katanya.

Raja Rozela berhujah, Ahmad Zahid kemudian mengarahkan Prof Dr Zulkifli Senteri meletakkan jawatan tanpa dimaklumkan alasan mengenainya.

Katanya, jawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi kemudian diisi Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak menandatangani cek Akalbudi.

"Menerusi Resolusi Pekeliling Ahli Lembaga Pemegang Amanah bertarikh 4 April 2012 yang ditandatangani Muhammad Nabildan Khairuddin, tertuduh diletakkan sebagai penandatangan tunggal cek Akalbudi, yang berkuatkuaa pada 20 Jun 2013," katanya.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:03 PM